PELAKON dan pelawak Along Cham tampil di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Selasa dengan mengemukakan tiga sebab utama yang menyebabkan lafaz taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi, jatuh pada Julai 2024 di kediaman mereka di Cyberjaya.
Menurut Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, perkara itu berlaku selepas isterinya melanggar amaran yang telah diberikan sejak awal perkahwinan.
“Amarannya adalah jika awak berhubung dengan bekas isteri saya, kongsi lokasi sekolah anak, maka jatuh talak satu.
“Dia kongsikan lokasi sekolah anak saya. Dia hubungi bekas isteri dan cari Zila dengan alasan naluri sebagai seorang ibu,” katanya.
Along tegaskan dia menyimpan bukti isteri berlaku curang.
Along berkongsi perkara itu ketika hujahan di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi, bersama peguamnya Muhammad Akmal Amzan.
Along berkata, dia sudah berulang kali memberi amaran namun isterinya tetap berhubung dengan bekas isteri dan melanggar syarat yang ditetapkan.
“Sedangkan anak kandung sendiri dia tidak mengaku anak. Saya difahamkan mereka berhubung sejak Jun 2024.
"Tidak tahu apa niat dia, berkemungkinan sebagai pemberi maklumat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sekali saja langgar taklik, isteri Along Cham akui wujud pihak ketiga
ARTIKEL BERKAITAN: Along Cham pernah lafaz cerai 2 bulan selepas nikah tapi isteri tak berubah langgar janji
Selain itu, Along turut mengemukakan dua sebab lain yang mencetuskan jatuhnya lafaz taklik iaitu perbuatan curang dan tindakan membelakangkannya dalam segala urusan rumah tangga.
“Saya ada bukti dia curang dan menipu saya. Dia juga selalu buat keputusan sendiri tanpa pengetahuan saya.
“Semua perkara tersebut berlaku, dan saya ada bukti. Saya tidak mahu kemukakan bukti awal sebab nanti defenden (Afreena) serang mereka,” katanya.
Tidak tahu apa niat dia, berkemungkinan sebagai pemberi maklumat
ALONG CHAM
PELAKON/PELAWAK
Dalam prosiding yang berlangsung, pihak Along turut mengemukakan bukti rakaman audio yang menunjukkan Afreena sedar mereka sudahpun rujuk.
“Ya, dia tahu (sudah rujuk) dan dia sudah maklumkan kepada sahabat baik dan orang sekeliling dia. Saya ada bukti (rakaman audio),” ujarnya.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Julai sebagai tarikh sebutan semula bagi tuntutan pengesahan lafaz cerai.
Sebelum ini , Afreena mendedahkan rumah tangga mereka sudah mempunyai masalah sejak awal perkahwinan.
Kes perceraian Along dan Afreena masih dalam perbicaraan.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu.
Ini merupakan perkahwinan kedua Along selepas bercerai dengan bekas isteri, Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup, Along dikurniakan anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube