suria

Suami Nora Ariffin tunggu proses hakam tentukan nasib perkahwinan, akui hubungan isteri pertama dan kedua positif… “Ia sesuatu yang seronok tetapi…”

Rushdi (kiri) enggan mengulas lanjut berhubung kemelut rumah tangga bersama Nora.

SUAMI kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin iaitu Dr Rushdi Ramli memilih untuk tidak memberikan komen panjang mengenai perkembangan kes rumah tangga mereka yang kini beralih ke proses hakam.

Dr Rushdi, 59, berkata, apa yang disampaikan oleh Nora sebelum ini hampir sama dan menyerahkan segalanya kepada Allah untuk menentukan jalan terbaik buat mereka.

“Pihak mahkamah cuma minta kes kami diteruskan ke proses hakam.

“Saya tiada komen banyak sebab apa yang Nora cakap lebih kurang sama sahaja. Proses selepas ini ada lantikan hakam bagi tujuan pendamaian, insya-Allah.

Rushdi masih mahu mempertahankan rumah tangganya bersama Nora.

“Saya serahkan kepada Allah untuk menentukan perkara terbaik buat kami,” katanya kepada mStar.

Dr Rushdi berkongsi perkara itu ketika ditemui sejurus selesai sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) bersama Nora di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam pada pagi Isnin.

Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya itu menegaskan tiada siapa yang menginginkan perpisahan melainkan dengan alasan yang kukuh.

“Sudah tentu dalam perkahwinan tiada siapa mahu bercerai kecuali ada alasan munasabah,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jarang jumpa sebab sibuk bekerja, tapi suami masih pulang jenguk Nora Ariffin

ARTIKEL BERKAITAN: Proses JKP Nora Ariffin gagal capai kata sepakat, kes cerai diteruskan ke hakam… “Malangnya kuasa talak bukan di tangan wanita”

Ditanya mengenai isu membabitkan Nora dan isteri pertamanya iaitu Rose Aliza Sutrisno, Dr Rushdi enggan mendedahkan lanjut namun memberi bayangan perkara itu sesuatu yang positif.

“Isu Nora dengan isteri pertama saya tak boleh nak jelaskan lagi. Ia sesuatu perkara yang seronok tetapi saya tak boleh komen lagi,” jelasnya.

Pada Isnin, proses JKP antara Dr Rushdi dan Nora menemui jalan buntu, dan mahkamah menetapkan tarikh 3 September depan bagi lantikan hakam.

Sebelum ini, Nora melantik kakak angkatnya, Rafeah sebagai wakil JKP manakala Dr Rushdi memilih rakannya, Syamsul Omar.

Krisis rumah tangga pasangan ini mula menjadi perhatian umum sejak 12 Ogos tahun lalu selepas Nora memuat naik video memaparkan suaminya melafazkan cerai terhadapnya. 

Nora nekad mahu bercerai dengan suami.

Disebabkan terlalu banyak memendam rasa, Nora memfailkan permohonan cerai pada 21 April lalu.

Untuk rekod, Nora mengesahkan telah berkahwin dengan Dr Rushdi pada penghujung 2021. 

Sebelum itu, Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. 

Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain