suria

Rizman Ruzaini enggan komen isu hutang, lumrah terpalit kontroversi lepas 20 tahun bertapak

Rizman (kiri) dan Ruzaini tidak mahu keruhkan isu yang menjadi bualan ramai.

PEREKA fesyen Rizman Ruzaini tetap dengan pendirian enggan memberi sebarang komen apabila mereka dikaitkan sebagai individu yang berhutang dengan pelakon Datin Intan Najuwa.

Salah seorang pengasas jenama tersebut, iaitu Rizman Nordin, menganggap ia sebagai satu perkara biasa apabila nama mereka menjadi sebutan selepas perkara tersebut diperkatakan.

"Bagi saya, lumrah apabila satu jenama yang sudah bertapak selama 20 tahun menjadi sebutan dan orang akan berteka-teki disebabkan berlaku satu isu.

Rizman dan Ruzaini tidak melatah apabila nama mereka dikaitkan berhutang dengan Intan. 

"Kalau bukan nama kami yang disebut, saya tidak mahu komen apa-apa," katanya kepada mStar.

Rizman dan Ruzaini ditemui ketika majlis pelancaran butik terbaharu mereka di KLCC, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Susulan isu yang berlaku, Rizman memberitahu bahawa perniagaan mereka tidak terjejas kerana rata-rata pelanggan sudah mempercayai hasil kualiti jenama tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh pereka terkenal hutang jutaan ringgit dengan Intan Najuwa, Rizman Ruzaini terkejut nama kena petik 

ARTIKEL BERKAITAN: Intan Najuwa tuntut pereka terkenal bayar duit pinjaman cecah jutaan ringgit, tak teragak-agak dedah identiti sebenar

Namun dalam masa sama, dia juga akur akan jatuh bangun dalam perniagaan sejak awal mereka mula bertapak dalam industri fesyen tanah air.

"Pelanggan teguh dengan jenama kami. Apa yang kami lakukan adalah fokus kepada perniagaan. Bukan mudah untuk menjadi satu jenama contoh.

"Tipu kalau saya katakan dalam tempoh 20 tahun tidak ada sebarang masalah. Pastinya ada jatuh bangun dan bukan semuanya lancar," jelasnya.

Jenama Rizman Ruzaini terus kukuh di hati pelanggan setia.

Sebelum ini, Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, meluahkan rasa kecewa apabila individu dipercayai seorang pereka terkenal gagal melunaskan pinjaman wang seperti yang dipersetujui dalam perjanjian bertulis.

Menurut Intan, individu berkenaan pada awalnya merayu bantuan kewangan dengan pelbagai janji manis, namun mula mengelak apabila tiba masa untuk membayar semula hutang tersebut.

Susulan kenyataan itu, nama jenama fesyen Rizman Ruzaini mula dikaitkan oleh netizen sebagai pihak yang dimaksudkan oleh Intan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain