PELAKON Datuk Aaron Aziz meluahkan rasa terkejut selepas menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh media sosial, Sharina Richie, yang didakwa mahu menyaman anak perempuannya, Dwi Ariana, sebanyak RM2 juta.
Menurut Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 49, surat itu diterima pada pagi Khamis dan mendakwa anaknya langsung tidak melakukan sebarang kesalahan berat sehingga perlu diheret ke mahkamah.
"Pagi tadi (9 Oktober) saya terima satu LOD yang agak mengejutkan. Pihak sana (Sharina) mahu menyaman anak saya sebanyak RM2 juta.
Sharina menghantar surat tuntutan kepada Dwi Ariana (tengah).
“Saya tak faham apa salah anak saya. Dia sekarang berada di luar negara dan sedang menempuh musim peperiksaan. Kalau nak serang, serang saya.
“Anak saya cuma bertanya kenapa video tak dipadam dan minta penjelasan," katanya kepada mStar.
Sebagai seorang bapa, Aaron berkata, dia tidak akan membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja, lebih-lebih lagi apabila nama anaknya turut disebut secara terbuka di media sosial.
"Awalnya saya dan isteri tak nak beritahu anak kami sebab kami risau ganggu emosinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Aaron Aziz ambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah
ARTIKEL BERKAITAN: Aaron Aziz perjelas salah faham isu Gaza, minta netizen tonton video temu bual penuh
“Tapi bila pihak sana sendiri muat naik video dan sebut nama anak saya, saya tiada pilihan. Saya perlu tampil dan pertahankan dia," ujarnya.
Dalam pada itu, isteri Aaron, Datin Diyana Halik, menegaskan dia tetap akan meneruskan tindakan saman terhadap Sharina dan telah menyerahkan sepenuhnya urusan itu kepada peguam mewakili mereka iaitu Mahmud Jumaat, untuk langkah seterusnya.
"Buat masa ini kami akan teruskan saman. Selebihnya, kami serahkan kepada peguam kami untuk beri nasihat dan tindakan yang wajar," jelasnya.
Sebelum ini, konflik antara keluarga Aaron dan Sharina mula tercetus susulan penularan sebuah video yang memaparkan kenyataan berbaur sensitif.
Sharina bersama peguamnya Tun Laila.
Video tersebut menyaksikan Sharina mengecam tindakan Aaron berkaitan isu Palestin, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Bagaimanapun, Sharina telah memadam hantaran tersebut dan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Aaron.
Walaupun sudah memohon maaf, Sharina tetap menerima kritikan hebat di media sosial, termasuk dakwaan menjadi sasaran serangan peribadi daripada sesetengah pihak.
Sharina turut membuat laporan polis selepas mendakwa menerima pelbagai bentuk ancaman terhadap dirinya dan ahli keluarga.
Peguam yang mewakili Sharina, Tun Laila, memaklumkan bahawa pihaknya telah menjalankan prosedur undang-undang yang sewajarnya berhubung situasi tersebut dan bersedia untuk membawa kes ini ke muka pengadilan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube