PELAKON Nora Danish memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kenyataan bekas suaminya, Nedim Nazri Aziz, yang meluahkan rasa marah di platform Threads berhubung dakwaan individu cuba mengganggu anak mereka.
Menurut Nora atau Nora Mohd Danish Hanif, 43, dia memilih untuk tidak mencampuri urusan peribadi Nedim kerana menghormati hak privasi masing-masing selepas berpisah.
“Bab itu saya tak nak komen apa-apa, sebab saya memilih untuk tidak bersama dia.

Antara kenyataan Nedim yang dimuat naik di Threads.
“Jadi saya hormati hak privasi dia dan sebagainya. Buat apa nak komen? Sebab tiada kena mengena dengan saya,” katanya kepada mStar.
Nora berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas selesai tayangan perdana drama Saling Tak Terlihat yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada petang Selasa.
Berkongsi lanjut, Nora memberitahu, dia juga tidak mengetahui tentang hantaran yang dimuat naik Nedim kerana kini sibuk menguruskan perniagaan restorannya.
ARTIKEL BERKAITAN: “Hidup seorang ini penat, kalau ada teman lebih indah” - Nora Danish
ARTIKEL BERKAITAN: Bertuahnya Mickey Ayo dapat video ulang tahun daripada Nora Danish, kongsi momen romantis berdua
“Tak juga (baca Threads) sebab sibuk dengan perniagaan restoran saya dan tidak aware langsung. Saya tak rasa itu ditujukan kepada saya sebab kami mempunyai hubungan yang baik sahaja.
“Saya mengharapkan hubungan yang baik bagi semua pihak dan dari dulu saya tekankan perkara ini agar anak saya dapat membesar dengan sihat,” jelasnya.
Sebelum ini, Nedim atau lebih dikenali sebagai Boss Ned menarik perhatian ramai selepas memuat naik beberapa hantaran di Threads meluahkan rasa kecewa terhadap individu yang didakwa cuba mengganggu anaknya.

Nora enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan Nedim di Threads.
Dalam hantaran sama, dia turut menyindir seorang wanita yang disifatkan berpura-pura baik di sebalik imej berhijab, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nora bakal muncul dengan drama terbaharunya Saling Tak Terlihat yang akan ditayangkan mulai 6 November ini di platform penstriman UTV.
Selain Nora, drama arahan Izuan Mokhtar itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Remy Ishak, Fattah Amin, Alicia Amin, Raja Azmi, Datin Seri Umie Aida dan Aleza Shadan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


