PROSES lelongan barangan milik usahawan Datuk Seri Vida akhirnya berjaya dilaksanakan oleh syarikat Ah Design Communication selaku penuntut hutang selepas hampir setahun tertangguh
Lelongan tersebut berlangsung di kediaman selebriti itu di Persiaran Bukit Meru, Ipoh, Perak bermula pukul 10.40 pagi dan ia selesai kira-kira 1.40 petang, Khamis.
Proses lelongan itu dilakukan oleh pelelong berlesen S. Punithawati.
Difahamkan, seorang usahawan bernama Norzamri Abdullah berjaya membida keseluruhan 727 barangan yang disita di banglo Vida dengan jumlah RM1 juta.

Samir (kiri) merupakan peguam yang mewakili Ah Design Communication.
Menurut Punithawati, dua pembida telah mendaftarkan diri untuk menyertai proses tersebut, namun hanya seorang yang meneruskan bidaan selepas seorang lagi menarik diri.
“Semua barangan yang disenaraikan dalam perisytiharan jualan dijual pada harga RM1 juta.
“Memandangkan seorang pembida menarik diri dan tawarannya tidak sesuai, maka hanya tinggal seorang sahaja pembida berdaftar iaitu Norzamri Abdullah,” katanya kepada mStar.
Sementara itu, peguam yang mewakili Ah Design Communication, Samir Zainal, memaklumkan bahawa pembida berkenaan diminta menyelesaikan pembayaran selewat-lewatnya pada pukul 4.30 petang hari sama.
ARTIKEL BERKAITAN: Orang ramai boleh serbu rumah Vida, acara lelong harta diadakan 30 Oktober ini
ARTIKEL BERKAITAN: Gagal capai persetujuan bayaran hutang lebih RM1 juta punca lelongan harta Vida diteruskan
“Sebanyak 727 barangan yang disita telah dijual dalam satu lot dengan harga RM1 juta, termasuk beberapa buah kenderaan milik Datuk Seri Vida.
“Pembayaran penuh perlu diselesaikan sebelum 4.30 petang ini,” jelasnya.
Samir turut menjelaskan bahawa jumlah keseluruhan aset yang disita bernilai RM1.1 juta, namun hanya RM1 juta dibayar semasa proses lelongan berlangsung.
Antara barang yang berjaya dilelong ialah tiga buah kereta iaitu Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace dan BMW X7, selain 727 barangan dalam rumah seperti set sofa, meja makan, televisyen, penghawa dingin, teleskop, gitar elektrik, piano, set karaoke, meja pool, hiasan dinding dan pasu.
Dalam pada itu wakil Ah Design Communication, Mohammad Taufik Kamarul, memaklumkan akan ada rundingan susulan bagi membincangkan baki tuntutan yang masih belum dijelaskan sebanyak RM100,000.
“Syukur, proses hari ini berjalan dengan lancar dan bidaan berjaya pada harga RM1 juta.

Proses lelongan berakhir pada pukul 1.40 petang Khamis.
“Untuk baki yang masih tertunggak, saya akan berbincang semula dengan Datuk Seri Vida,” katanya.
Untuk rekod, pada 25 November tahun lalu, sebanyak 727 barangan milik Datuk Seri Vida telah disita dalam operasi yang berlangsung hampir lima jam di banglo tiga tingkatnya di Meru Heights, Ipoh.
Tindakan itu diambil selepas beliau gagal melunaskan tunggakan bayaran berjumlah RM1,060,285 kepada syarikat Ah Design Communication sejak tahun 2018.
Proses lelongan yang sepatutnya dijalankan pada 9 Disember tahun lalu ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Vida untuk menangguhkan pelaksanaan tersebut.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


