SEORANG individu dikenali Syamim Razi dipercayai mendedahkan perbualan mesej peribadi bersama isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek di akaun Instagram miliknya.
Menerusi tangkap layar yang dikongsi oleh Syamim, Dr Afifah dikatakan tampil menjelaskan tuntutan wang berjumlah RM5 juta yang dikaitkan dengannya sebelum ini.
Kata Dr Afifah, jumlah tuntutan itu adalah hasil nasihat daripada peguam selain berhak mendapatkan imbuhan tersebut memandangkan sudah lebih 10 tahun bergelar isteri kepada penyanyi itu.
"Duit itu peguam yang minta. Kami tak bodoh. Peguam dah tengok akaun bekas (Nubhan) akulah. Memang aku lebih layak dapat RM5 juta itu daripada keluarga kau.

Perkongsian yang dimuat naik oleh Syamim di Instastory miliknya.
"Memang kena mintalah aku dah beranak anak dia tiga orang. Dah buang masa 10 tahun dekat orang macam tu.
"Kisah pula, duit laki aku bukan duit you. Nak pijak-pijak aku memang taklah," katanya dalam perbualan bersama Syamim.
Dalam mesej sama, Syamim turut mendakwa Dr Afifah meminta wang daripada Nubhan untuk membayar upah peguam yang dilantik.
Namun, Dr Afifah menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan dia tidak terdesak untuk menagih wang suaminya itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu mentua Nubhan didakwa tuntut RM5 juta jika mahu bercerai, siap ‘spill the tea’ kena bahagi harta sama rata
ARTIKEL BERKAITAN: Dr Afifah tegur ‘orang ketiga’, nasihat jangan berebut kasih sayang anaknya
"Excuse me, ingat aku terdesak sangat ke nak duit Nubhan tu.
"Korang lagi terdesak nampaknya. Nak jalan semua pakai duit Nubhan.
"Aku percaya Allah bersama-sama aku sebab aku tak pernah nak buka aib sesiapa," ujarnya.
Dalam masa sama, Dr Afifah menasihati individu terbabit supaya tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah serta menjaga tutur kata.
"Kalau kau tak mengata keluarga orang tak boleh ke? Keluarga kau orang kata menggelupur.
"Cakap baik-baik jadi orang baik-baik dan terpelajar. Sekarang aku faham kenapa Allah uji keluarga korang macam-macam. Mulut tak ada yang baik nak keluarkan.
"Saja nak pesan cakap tu baik-baik sikit, kata terpelajar. Apa bukti, tunjuk bukti baru cerita. Jangan fitnah-fitnah," katanya.
Menerusi mesej peribadi itu, Dr Afifah dilihat tidak menafikan mengenai jumlah tuntutan yang didedahkan seorang individu serta tidak dapat dipastikan tarikh sebenar perbualan antara mereka.
Sementara itu, usaha mStar untuk mendapatkan kenyataan lanjut daripada Dr Afifah tidak berjaya apabila panggilan dan mesej dibuat tidak dijawab.

Dr Afifah hanya mahu suami selesaikan kemelut rumah tangga mereka dengan baik.
Difahamkan, Syamim merupakan anak kepada Sharifah Mastura Syed Sepian atau lebih dikenali Kak Yang yang didakwa sebagai orang ketiga dalam kemelut rumah tangga penyanyi berkenaan.
Sebelum ini, anak Kak Yang, Nur Qistina Syahirah membuat laporan polis selepas mendapati gambar keluarganya disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sekali gus menjadi mangsa kecaman.
Tidak hanya itu, semalam tular di aplikasi Threads apabila timbul dakwaan ibu mentua Nubhan menuntut wang sebanyak RM5 juta sekiranya penyanyi berkenaan mahu berpisah dengan Dr Afifah.
Menurut individu terbabit, isu penceraian Nubhan dan Dr Afifah dikatakan telah berlarutan dan menjadi perbincangan berulang kali antara mereka.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


