suria

Angkat kisah tokoh silat Meor Abdul Rahman, pengarah ada sebab pilih Beto Kusyairy teraju ‘Gayong’

Lakonan mantap Beto Kusyairy menghidupkan jalan cerita Gayong.

PELUANG mendokumentasikan kisah hidup tokoh persilatan Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman membuatkan pengarahnya iaitu Faisal Ishak berbesar hati menerajui filem Gayong.

Faisal berkata, filem itu bukan sahaja menceritakan perjuangan pengasas silat Gayong Malaysia itu tetapi keperibadian Allahyarham turut dipamerkan agar menjadi suri teladan kepada penonton.

“Apabila dapat tawaran mengarah filem ini saya saya berbesar hati sebab ia bukan sahaja inspirasi tetapi dokumentasi daripada sejarah kehidupan Allahyarham.

“Dalam filem ini apa saya ingin sampaikan adalah perjuangan beliau yang bukan sahaja seorang pendekar hebat tetapi mempunyai falsafah hidup.

Faisal berbesar hati dapat mengarahkan filem Gayong. 

“Saya harap filem ini dapat memartabatkan lagi seni silat kerana ini adalah warisan peninggalan nenek moyang kita,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, kata Faisal, tiada pelakon lain bermain difikirannya selain Beto Kusyairy untuk memegang watak utama.

Apatah lagi kata Faisal, Beto mempunyai latar belakang dalam seni silat Gayong dan turut mengenali beberapa individu penting dalam pertubuhan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Gayong’ bukan rekaan, angkat kisah tokoh silat tempatan

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya ada sebulan dapat tubuh sasa, Beto Kusyairy upah PT dan makan 10 biji telur sehari demi ‘Gayong’

“Bila dapat tawaran naskhah ini, setengah jam kemudian saya terus hubungi Beto. 

“Saya tahu etika kerja Beto macam mana, jadi sudah ada keserasian saya untuk mengarahnya di set penggambaran.

“Dia juga mempelajari silat seni Gayong dan mengenali orang penting pertubuhan Gayong itu sendiri, jadi tiada lain cuma Beto sahaja berada dalam fikiran saya,” ujarnya.

Saya memasang impian nak buat trilogi filem ini.

FASIAL ISHAK

PENGARAH

Sementara itu, Faisal dengan gembira mendedahkan selepas ini Gayong mempunyai sekuel dan penggambaran bagi filem kedua itu juga sudah pun selesai.

Malah, Faisal juga memasang impian untuk melengkapkan trilogi filem berkenaan.

“Ya memang ada sekuel, penggambaran pun sudah selesai, mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa tajuk filem Gayong bukan Meor?

Gayong bakal menemui penonton di pawagam pada 8 Mei 2025. 

“Saya memasang impian nak buat trilogi filem ini, iaitu daripada perjalanan awal sehinggalah ke pertubuhan Gayong itu sendiri.

“Insya-Allah jika mendapat sambutan menggalakkan akan ada filem ketiga, itu antara perancangan kami,” jelasnya.

Gayong merupakan sebuah filem yang diinspirasikan daripada sebuah kisah benar perjalanan hidup Allayarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), lakonan mantap pelakon Beto Kusyairy.

Allahyarham merupakan pengasas bagi Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia.

Selain Beto, Gayong turut menampilkan pelakon Nabila Huda dan Syafie Naswip. 

Filem ini memaparkan perjalanan hidup ADMAR mempertahankan maruah bangsa di gelanggang pertandingan sebelum berhijrah ke Singapura dari Taiping, Perak bersama isterinya iaitu Che Som (Nabila Huda) bagi mencari rezeki.

Ketika tempat tinggalnya diancam oleh penjajah Jepun, Allahyarham bersama rakan seperjuangan lain bangkit bagi mempertahankan tanah air mereka.

Selain Beto, filem ini dibintangi pelakon lain seperi Nabila Huda, Syafie Naswip dan Yayan Ruhian.

Gayong akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 8 Mei ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain