suria

Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai buat penonton tak senang duduk, produksi alami kejadian misteri

Menjelang Maghrib 2: Wanita Dirantai ketengahkan tahyul dan perubatan moden.

PENGALAMAN zaman kanak-kanak menjadi pencetus ilham kepada penerbit Helfi Kardit untuk menghasilkan filem seram Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai.

Menurut Helfi, kenangan pada usia belasan tahun masih segar dalam ingatannya apabila seorang rakannya dipasung kerana dipercayai mengalami masalah mental. 

Pengalaman itu mendorongnya mengangkat tema pasung dalam filem bagi memberi pemahaman kepada penonton mengenai kepercayaan orang terdahulu dalam menangani penyakit mental yang dianggap berkaitan alam mistik.

Kisah seorang gadis bernama Lyla yang dipasung.

“Ketika itu umur saya 15 tahun, ada kawan saya dipasung kerana dianggap mempunyai masalah mental. Pada waktu itu banyak rawatan seperti itu dan sehingga sekarang pun masih ada, terutama di Sumatera dan Kalimantan.

“Alasannya mudah saja, mereka dipasung agar tidak mengganggu orang. Tapi ada kepercayaan mistik bahawa tubuh perlu dikembalikan pada tanah dan jiwa perlu menyatu dengan alam. 

"Ini hanyalah kepercayaan. Dari sisi kemanusiaan memang nampak tidak berperikemanusiaan, tapi sisi mistiknya ada benarnya kerana tubuh dan jiwa adalah milik alam, tetapi dengan ilmu,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Penonton menggigil sampai termuntah sebab takut, ‘Gala’ mampu buat penggemar filem seram tak senang duduk

ARTIKEL BERKAITAN: Angkat kisah susuk dan ilmu hitam, ‘Tembuni Berdarah’ buat penonton seram sejuk

Filem ini bukan sekadar menakutkan, malah turut menonjolkan isu budaya, unsur mistik dan tahayul yang bertentangan dengan pengetahuan moden sains, selain fenomena mistik. 

Helfi berkata, latarnya juga sekitar tahun 1920, ketika Indonesia masih lagi di bawah penjajahan Belanda atau dikenali sebagai Hindia Belanda.

Sepanjang penggambaran di Gunung Papandayan, Jawa Barat, kru produksi turut mengalami kejadian seram dan pelik, sehingga terpaksa menukar lokasi penggambaran.

Penerbit, Helfi (kiri) bersama pelakon utama Aditya Zoni (kanan).

“Seorang kru sedang mengemas peralatan dan ketika itu ada sungai berhampiran. Bukan sungai besar, tapi kecil. Dia ternampak kepala dan menjerit. Akhirnya kami sepakat pindah lokasi. Nasib baik ketika itu penggambaran hanya tinggal di dalam rumah kayu sahaja,” luahnya.

Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai mengisahkan seorang doktor muda lulusan Universiti Stovia, Giandra, yang terbaca kisah seorang gadis di Desa Karuhun yang dipasung. 

Rawatan dilakukan secara mistik oleh seorang dukun jelas bertentangan dengan prinsip Giandra sebagai seorang doktor moden. 

Pelbagai kejutan menanti penonton.

Setibanya di kampung itu, pelbagai fenomena mistik mula terungkai, terutama berkaitan susur galur hidup gadis yang dipasung, Layla.

Filem terbitan Helroad Films ini bakal menemui penonton pada 20 November ini di Malaysia.

Karya ini sudah ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia pada 4 September lalu dan menerima maklum balas positif dengan jumlah penonton yang tinggi.

“Semasa Menjelang Maghrib ditayangkan di Malaysia tiga tahun lalu, ia mendapat sambutan hangat daripada penggemar filem seram dengan kutipan hampir mencecah RM2 juta,” katanya.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon popular seperti Aditya Zoni, Ajeng Fauziah, Muthia Datau, Aisha Kastolan dan Aurelia Lourdes.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain