suria

Ahmad Idham buat ‘kerja gila’, bawa pelakon baharu dalam Impak Maksima 2... Papar kisah dendam Ray dan Abang Joe

Arfie (kiri), Nelissa dan Muhsin diberi kepercayaan terajui Impak Maksima 2.

KEMBALI membawa jenama Impak Maksima ke layar perak, pengarah Dr Ahmad Idham berani menampilkan pelakon-pelakon baharu dalam filem yang pernah menjadi sebutan hangat sekitar tahun 2007. 

Mengakui ia sebagai satu 'kerja gila', bagi Ahmad Idham pelakon muda harus diberi kesempatan untuk membuktikan bakat mereka agar terus menyinar dalam industri seni. 

Bukan hanya itu, gandingan bersama artis-artis lama juga memberi keyakinan buatnya untuk Impak Maksima 2 mendapat sambutan baik penonton. 

Ahmad Idham (kanan) beri peluang pelakon baharu tonjolkan bakat. 

"Saya memang gila daripada dulu kerana berani ambil pelakon baru. Kerja seperti ini cukup sinonim dengan saya. Tidak ramai penerbit berani letak pelapis baru dalam percaturan filem mereka. 

"Bagi saya, kita perlu ada kesinambungan. Saya percaya pelakon-pelakon baru ini akan menjadi rebutan di masa akan datang," katanya. 

Dalam filem itu, Ahamd Idham memperkenalkan watak-watak baharu yang dibawakan oleh barisan pelakon muda seperti Arfie Shah, Nelissa Azman dan Muhsin Nadzli. 

ARTIKEL BERKAITAN: Impak Maksima 2 penentu karier Ahmad Idham, sedia undur diri jika gagal 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Terlalu banyak berfikir sampai ganggu emosi, Arfie Shah gementar jadi hero ‘Impak Maksima 2’

Dia juga turut membawa kembali watak asal filem terdahulu yang pernah dilakonan oleh Datuk Seri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar dan Zul Huzaimy. 

Selepas 18 tahun, pastinya Ahmad Idham memberi sentuhan berbeza dari segi aksi dan jalan cerita yang menarik. 

Mula menjalani penggambaran pada Januari lalu, dia juga berjaya menyiapkan karya terbitan Screen Studio Sdn Bhd ini dalam tempoh 40 hari. 

Zul Huzaimy dan Eizlan kembali dalam Impak Maksima 2. 

Secara keseluruhan gandingan pelakon baharu dan lama berjaya menghidupkan jalan cerita filem ini dengan pembawaan watak yang cukup berkesan. 

Filem ini membawa kisah tentang Abang Joe (Eizlan) iaitu seorang usahawan bidang permotoran yang berdepan waktu sukar menguruskan perniagaan. 

Gandingan pelakon baharu dan lama dalam Impak Maksima 2. 

Watak Rudy (Arfie) muncul sebagai penyelamat dalam membantu Abang Joe untuk mengembalikan kegemilangan sukan permotoran terutama dalam kalangan anak muda. 

Usaha Abang Joe juga mendapat tentangan 'musuh' lamanya iaitu Ray (Zul Huzaimy) yang masih menyimpan dendam disebakan kisah lama antara mereka. 

Filem Impak Maksima 2 mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula hari ini.  

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain