suria

Angkat kisah susuk dan ilmu hitam, ‘Tembuni Berdarah’ buat penonton seram sejuk 

Tembuni Berdarah bakal 'menghantui' penonton di pawagam tidak lama lagi.

FILEM Tembuni Berdarah menonjolkan isu pemakaian susuk dalam dunia estetika kecantikan serta konflik ideologi antara generasi lama dan baharu sekali gus membezakan karya ini daripada naskhah seram tempatan lain.

Menurut pengarahnya, Dr Ahmad Idham, karya terbaharu itu mempunyai 'vibe' yang sama seperti filem seram sebelum ini iaitu Jangan Pandang Belakang dan Congkak. 

Namun, Tembuni Berdarah lebih menumpukan kepada perbezaan ideologi mengenai amalan syirik antara dua generasi.

Idham tonjolkan ideologi dua generasi dalam isu amalan syirik.

“Ramai yang mahu saya kembali dengan vibe seperti Jangan Pandang Belakang dan Congkak. 

"Filem ini memang ada feel yang sama, cuma saya cuba tonjolkan perbezaan ideologi generasi lama dan baharu dalam isu amalan syirik,” katanya kepada mStar.

Idham turut berkongsi filem ini berlatarbelakangkan dunia estetika kecantikan yang kini semakin popular sebagai cara menjaga penampilan dan awet muda.

“Mengapa saya pilih tema ini? Sebab filem ini cuba menggambarkan situasi semasa, terutama dalam bidang estetika kecantikan yang menjadi pilihan ramai. Di zaman kini, ramai yang mahu kelihatan cantik dan muda.

ARTIKEL BERKAITAN:Ahmad Idham buat ‘kerja gila’, bawa pelakon baharu dalam Impak Maksima 2... Papar kisah dendam Ray dan Abang Joe

ARTIKEL BERKAITAN: Impak Maksima 2 penentu karier Ahmad Idham, sedia undur diri jika gagal

“Memandangkan tempoh menonton  semakin pendek, jadi saya kurangkan elemen drama yang sarat dengan dialog untuk memberikan lebih banyak kejutan dalam filem ini.

“Filem seram Melayu memang tidak lari daripada konsep saka, berbeza dengan filem seram Indonesia yang lebih cenderung menampilkan hantu kuntilanak sebagai watak utama,” jelasnya.

Dalam masa sama, Dr Ahmad Idham memuji komitmen barisan pelakon filem itu khususnya aktres Sophia Albarakbah yang berani keluar daripada watak kebiasaannya.

Jelas Idham, dia sangat kagum dengan dedikasi Sophia yang tidak hanya mengharungi cabaran fizikal, tetapi juga mental dalam membawa watak yang berbeza daripada imejnya selama ini.

Saya cuba tonjolkan perbezaan ideologi generasi lama dan baharu dalam isu amalan syirik

DR AHMAD IDHAM

PENGARAH

“Saya berikan cabaran kepada Sophia untuk keluar daripada zon selesa. Dia sering dikaitkan dengan watak cantik dan lembut, jadi saya mahu dia berani membawa lakonan yang lebih ‘kotor’. 

"Walaupun Sophia seorang pelajar perubatan dan sudah biasa dengan jarum serta alat perubatan, saya minta dia berdepan babak berdarah dan adegan di kubur.

“Saya tunggu sehingga dia bebas daripada komitmen kerja lain sebelum memulakan penggambaran kerana tiada pengganti lain yang saya cari,” ujarnya.

Filem Tembuni Berdarah mengisahkan seorang doktor estetik iaitu Dr Izara (Sophia Albarakbah) mempunyai cita-cita untuk mengembangkan bisnes produk kecantikannya.

Sophia memegang watak sebagai Dr Izara dalam Tembuni Berdarah.

Dr Izara percaya tiada jalan pintas untuk berjaya dan setiap individu harus berusaha serta bekerja keras demi mencapai cita-cita dan impian mereka. 

Namun nenek Dr Izara, Bok Miah (Khatijah Tan) yang mengamalkan ajaran ilmu hitam pula berpendapat sebaliknya.

Bagi wanita itu, dia berasa rugi sekiranya ilmu hitam yang dimilikinya tidak digunakan untuk membantu pewaris lain agar mereka dapat hidup senang. 

Idham puas hati dengan prestasi para pelakon filem Tembuni Berdarah.

Tembuni Berdarah menjalani penggambaran selama 20 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, termasuk bulan Ramadan tahun ini.

Diterbitkan oleh Lindo Production Sdn Bhd, filem ini dibarisi pelakon seperti Sophia, Niezam Zaidi, Khatijah Tan, Shahirah Shahora, Riezman Khuzaimi dan Mia Nasir.

Dengan kos produksi sebanyak RM1.3 juta, Tembuni Berdarah bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 25 September 2025.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain