BINTANG muda Manchester United (MU), Amad Diallo akhirnya 'buka mulut' berhubung tindakan kontroversinya menunjukkan isyarat lucah jari tengah kepada penonton selepas menentang Asean All Stars pada Rabu malam.
Menurut pemain berusia 22 tahun itu, tindakannya berpunca daripada rasa marah terhadap segelintir penyokong yang didakwa menghina ibunya.
“Saya ada rasa hormat terhadap orang, tetapi bukan kepada mereka yang menghina ibu saya.
“Saya tak sepatutnya bertindak begitu, tapi saya tidak menyesal dengan apa yang saya buat," ujarnya di laman X.
Dalam masa sama, Amad turut menyatakan rasa penghargaan terhadap sambutan hangat rakyat Malaysia sepanjang kunjungan pasukan itu ke negara ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tanggung malu kalah dengan Asean All Stars, bintang Man United Amad Diallo angkat jari tengah kepada peminat
“Kami (pemain MU) menikmati masa yang hebat di Malaysia bersama orang-orang yang baik,” tambahnya.
Pada Rabu, tindakan Amad menunjukkan isyarat lucah dirakam sewaktu dia berjalan menuju ke bas pasukan selepas tamat perlawanan.
Pemain berasa dari Ivory Coast itu dikatakan 'koyak' akibat diejek sebahagian penyokong yang hadir mengkritik persembahan buruk MU sepanjang musim ini.
Insiden itu berlaku selepas skuad The Red Devils mengalami satu lagi kekalahan memalukan di hadapan 84,000 penonton, kali ini dalam perlawanan pasca musim yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
MU pulang hampa selepas tewas 0-1 di tangan Asean All Stars.