suria

“Terima atau cubalah habiskan saya” - TMJ bersuara isu kes Faisal Halim, insiden pukul ‘skinhead’

Tunku Mahkota Ismail nafi terlibat dalam sebarang insiden jenayah yang berlaku dalam negara. -Foto Facebook HRH Crown Prince of Johor

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan baginda dan kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak perlu menurunkan diri ke tahap yang rendah dalam kes membabitkan pemain kebangsaan, Faisal Halim.

Tunku Ismail bertitah, ada pihak yang cuba mengaitkan pelbagai insiden jenayah yang berlaku dalam negara dengan baginda.

"Dalam insiden Faisal Halim, timbul bisikan dan spekulasi yang cuba kaitkan saya. Biar saya jelaskan, saya dan JDT tidak perlu turunkan diri ke tahap serendah itu.

"Saya seorang askar, kalau saya ada sesuatu untuk disampaikan atau dilakukan, saya tidak akan bersembunyi di sebalik tindakan pengecut seperti itu," titah baginda.

Selain itu Tunku Ismail turut bertitah, dalam kes pukul kumpulan skinhead di sebuah konsert tempatan baru-baru ini, nama baginda turut dikaitkan dalam kejadian berkenaan.

"Seperti biasa, ada yang cuba kaitkan insiden itu dengan saya. Konsert punk tempatan, pula tu.

"Adakah muka saya kelihatan seperti orang yang habiskan masa dengan ‘headbanging’ di gig punk underground?," titah baginda di Facebook HRH Crown Prince of Johor.

Tunku Ismail bertitah jika ada pihak yang sakit hati dengan pengaruh yang ada padanya, ia adalah berita yang kurang baik untuk pihak berkenaan.

Titah baginda, pengaruh itu tidak akan hilang sama ada dalam bola sepak, politik atau apa jua bidang sekalipun.

"Ia adalah sebahagian daripada ekosistem. Saya baru 41 tahun, dan pengaruh saya, kuasa, pengalaman, kewangan hanya akan bertambah dari sini.

"Pengaruh, dalam kedudukan saya, bukan satu pilihan, ia satu ketetapan. Semakin masa berlalu, semakin ia bertambah kuat.

"Jadi ini nasihat saya dengan rendah hati, belajarlah untuk terima atau cubalah habiskan saya terus," titah Tunku Ismail.

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia