suria

Beckham kecewa sikap pemain United di Malaysia, tak suka tengok apa sedang berlaku dalam kelab

LEGENDA Manchester United, David Beckham, menyuarakan kekecewaannya terhadap sikap para pemain pasukan itu semasa jelajah pascamusim di Asia, baru-baru ini.

Beberapa insiden membabitkan pemain muda Manchester United menjadi tular dan mencetuskan kontroversi sepanjang lawatan mereka ke Malaysia dan Hong Kong.

Antaranya, pemain sayap Amad Diallo dilaporkan menunjukkan isyarat lucah (jari tengah) kepada peminat di hotel penginapan pasukan itu di Kuala Lumpur. 

Diallo mendakwa tindakannya adalah sebagai tindak balas terhadap penghinaan yang dilemparkan terhadap ibunya dan menyatakan tidak menyesal dengan apa yang dilakukan.

Selain itu, rakaman video di media sosial pada Jumaat menunjukkan pemain sayap Argentina, Alejandro Garnacho, terlibat dalam satu pertengkaran kecil dengan seorang peminat yang merakam dirinya secara terbuka.

Kelab itu turut gagal memberikan aksi meyakinkan dalam perlawanan persahabatan, apabila tewas 1-0 kepada pasukan Asean All-Stars di Kuala Lumpur, sebelum mencatat kemenangan 3-1 ke atas Hong Kong hasil kebangkitan pada separuh masa kedua.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tidak menyesal” - Amad Diallo jawab kritikan, angkat jari tengah khas untuk individu hina ibu

ARTIKEL BERKAITAN: Tanggung malu kalah dengan Asean All Stars, bintang Man United Amad Diallo angkat jari tengah kepada peminat

Dalam wawancara bersama CBS Sports, Beckham berkata para pemain perlu menunjukkan sikap yang lebih profesional dan menghormati tanggungjawab mereka sebagai wakil kelab yang berprestij.

“Saya tidak suka melihat apa yang sedang berlaku di kelab ini. Saya melihat banyak perkara yang tidak boleh diterima, terutamanya sebagai peminat dan pencinta Manchester United.

“Kami dahulu faham apa maknanya bermain untuk Manchester United. Kami faham apa makna lambang di dada. 

"Ke mana sahaja kami pergi, sama ada di Eropah atau Asia kami menghormati peminat yang datang, membayar tiket, mahu bergambar atau meminta autograf. Itu adalah sesuatu yang perlu dihormati," katanya.

Manchester United menamatkan musim Liga Perdana Inggeris 2024/25 di kedudukan ke-15, pencapaian terburuk dalam sejarah moden kelab. 

Siri jelajah Asia yang sepatutnya menjadi peluang pemulihan imej kelab kini dilihat dicemari dengan insiden disiplin dan prestasi hambar.-Agensi

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia