suria

Malaysia benam Vietnam 4-0, tamatkan 'badi' 11 tahun

Malaysia berjaya menjadi juara mengalahkan Vietnam pada Selasa. -Foto Bernama

SKUAD Harimau Malaya menunjukkan taringnya membenam Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F, saingan kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, malam.

Gol Malaysia dijaringkan oleh Joao Figueiredo pada minit ke-49, diikuti Rodrigo Holgado (59’), La’Vere Corbin Ong (67’) dan Dion Cools (88’).

Kemenangan bergaya ini mengukuhkan Malaysia di kedudukan teratas Kumpulan F dengan enam mata daripada dua perlawanan, tiga mata mengatasi Vietnam.

Kemenangan ini juga lebih manis apabila Harimau Malaya akhirnya menamatkan badi 11 tahun tanpa kemenangan ke atas Vietnam.

Malaysia menewaskan Vietnam kali terakhir pada 2014 dan  mengalami tujuh kekalahan dan satu seri menerusi perlawanan seterusnya.

Menerusi perlawanan ini, Vietnam yang berada di ranking ke-109 dunia gagal menyaingi skuad kendalian Peter Cklamovski yang agresif dan tampil dengan empat pemain warisan baharu dalam kesebelasan utama.

Malaysia sebelum ini memulakan kempen pertama saingan kelayakan menewaskan Nepal 2-0, bagaimanapun berada di tempat kedua di belakang Vietnam kerana perbezaan jaringan.

Perlawanan ketiga buat Harimau Malaya adalah pada Oktober ini, berdepan Laos.

Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Asia yang akan berlangsung di Arab Saudi pada 2027.

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia