suria

TMJ bakar semangat pemain Harimau Malaya, meremang bulu roma - “Ini masanya, tunjuk siapa diri kita sebenar”

TMJ memberikan kata-kata semangat kepada barisan pemain dan jurulatih Harimau Malaya sebelum aksi menentang Vietnam pada Selasa.

TITAH Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail ketika memberikan amanat kepada barisan pemain Harimau Malaya menjadi kunci kejayaan menundukkan Vietnam 4-0 pada Selasa, malam.

Kata-kata semangat itu dikongsi baginda di Instagram @hrhcrownprinceofjohor yang memaparkan situasi di bilik persalinan sebelum perlawanan aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Kita cuba membawa bola sepak tanah air ke tahap yang lebih tinggi dan ini adalah revolusi. Apa sahaja yang kita bina dan rancang tiada maknanya jika tiada keputusan atau pencapaian.

“Ada beberapa pihak yang tak percaya, tidak mengapa. Kita sedang lakukan sesuatu yang baharu, mereka tidak biasa dengannya. Biarkan prestasi kita berbicara lebih lantang daripada apa yang mereka fikirkan,” titah baginda.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia benam Vietnam 4-0, tamatkan 'badi' 11 tahun

Tunku Ismail menyifatkan semangat juang pemain sebagai harapan kepada seluruh peminat bola sepak tanah air.

“Prestasi ini adalah harapan kita. Inilah masanya untuk kita tunjukkan siapa diri kita yang sebenar. Kawan-kawan, jika kita berjaya mengubah landskap bola sepak di negara ini, semuanya adalah kerana kamu.

“Tiada orang lain. Kamulah pejuang sebenar. Kamu buat mereka rasa seperti mereka sebahagian daripada sesuatu. Kamu beri mereka kepercayaan. Itulah yang kita mahukan.

“Dan salah satu cara untuk mereka percaya adalah apabila kita tunjukkan jati diri kita. Tunjukkan semangat juang yang sebenar,” titah baginda.

Dalam aksi pada Selasa, Malaysia menang 4-0 menerusi gol yang dijaringkan Joao Figueiredo pada minit ke-49, Rodrigo Holgado (59'), La'Vere Corbin Ong (67') dan Dion Cools (88').

Keputusan itu juga memadam rekod tanpa kemenangan skuad negara selama 11 tahun ke atas pasukan yang berada pada ranking ke-109 dunia itu.

 

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia