SETIAP kali berada di dalam kapal terbang, penumpang sering diingatkan untuk mengaktifkan mod pesawat pada telefon bimbit masing-masing.
Bagi sesetengah orang, arahan ini mungkin kelihatan remeh atau sekadar prosedur biasa.
Namun menurut pakar, tindakan ini sebenarnya penting dan ada sebab keselamatan di sebaliknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bosan percutian biasa? Kaki travel boleh teroka 5 destinasi dunia tanpa malam, matahari tak terbenam
Walaupun kini banyak syarikat penerbangan menawarkan perkhidmatan Wi-Fi berbayar (setelah berada di altitud yang selamat), penggunaan perkhidmatan selular seperti membuat panggilan atau menggunakan data tetap tidak dibenarkan semasa penerbangan.
Berikut merupakan beberapa faktor mengapa penumpang pesawat perlu mengaktifkan flight mode:
1. Keselamatan
Menurut Naib Presiden Operasi Penerbangan Icelandair, Gudmunder Tomas Sigurdsson, sebarang peranti elektronik yang menggunakan perkhidmatan selular boleh mengganggu sistem komunikasi dan navigasi pesawat.
Gangguan ini boleh menyebabkan kehilangan maklumat penting seperti amaran lalu lintas udara, penugasan landasan dan perubahan laluan penerbangan.
Setiap penumpang harus menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan mematuhi arahan kru pesawat. -Gambar hiasan
Juruterbang komersial Bobby Dutton, yang juga pengajar penerbangan dan jurutera, menyatakan bahawa sebarang salah faham dalam penghantaran maklumat ini boleh mengundang situasi berbahaya dengan pantas.
Sigurdsson menjelaskan bahawa walaupun sistem penerbangan moden direka untuk mengurangkan risiko gangguan, ia masih boleh berlaku terutamanya ketika fasa kritikal seperti berlepas dan mendarat.
"Keselamatan penerbangan dibina atas pelbagai lapisan perlindungan. Menyekat isyarat selular adalah salah satu daripada lapisan tersebut," jelasnya.
Sigurdsson turut menegaskan bahawa walaupun satu telefon yang aktif mungkin tidak memberi kesan besar, namun jika berpuluh atau beratus telefon dalam kabin menghantar isyarat pada masa yang sama, risiko gangguan kepada sistem pesawat akan meningkat.
Jika perkhidmatan selular dibenarkan, kebanyakan penumpang pasti akan menggunakannya, sekali gus meningkatkan potensi risiko.
Mod pesawat perlu diaktifkan bagi mengelakkan gangguan terhadap sistem navigasi pesawat dan demi keselamatan semua penumpang. -Gambar hiasan
2. Gangguan kepada anak kapal dan prosedur keselamatan
Satu lagi sebab penting mod pesawat perlu diaktifkan adalah bagi memastikan tumpuan penumpang terhadap arahan keselamatan.
"Anak kapal memerlukan perhatian penuh penumpang, terutama ketika arahan keselamatan diberikan atau jika berlaku kecemasan," kata Sigurdsson.
3. Perkhidmatan selular memang tidak berfungsi sepenuhnya
Walaupun penumpang dibenarkan menggunakan perkhidmatan telefon bimbit, ia mungkin tidak berfungsi kerana isyarat selalunya terlalu lemah dan tidak stabil.
Malah, pesawat moden direka untuk menyekat isyarat radio luaran demi memastikan komunikasi antara kokpit dan menara kawalan kekal selamat dan jelas.
Kesimpulannya, mengaktifkan mod pesawat bukan sekadar mematuhi peraturan, tetapi juga menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap keselamatan diri dan penumpang lain.
Jadi, apabila anda diminta mengaktifkan mod pesawat, ingatlah bahawa tindakan kecil ini boleh membantu mengelakkan insiden besar dan memastikan semua penumpang tiba ke destinasi dengan selamat. -Mirror