suria

Lawatan unik, seram ke 'Tanah Ciptaan Tuhan Ketika Murka'... Penuh rangka paus, ribuan bangkai kapal

Skeleton Coast diberi pelbagai gelaran kerana keadaannya yang seram. -Gambar Getty Images/iStockphoto

SEBUT tentang pantai, perkara pertama yang terlintas di fikiran kita adalah panoramanya yang memukau dan mendamaikan jiwa.

Namun, ada sebuah kawasan pantai yang mungkin kelihatan menakjubkan, namun dielakkan oleh penduduk tempatan kerana suasananya yang menyeramkan. 

Skeleton Coast yang terletak di Namibia memang indah pada pandangan mata, namun ia digelar dengan nama-nama seperti ‘Pintu Neraka’, ‘Penghujung Dunia’ dan juga ‘Tanah Ciptaan Tuhan Ketika Murka’.

Apabila airnya surut, anda boleh melihat ribuan bangkai kapal yang karam di pesisir pantai itu.

Dianggarkan lebih 1,000 bangkai kapal terdampar di sepanjang Skeleton Coast, termasuk kapal tunda Winston yang karam pada tahun 1970.

Satu lagi bangkai kapal terkenal ialah Eduard Bohlen yang karam pada awal 1900-an dan kini tertimbus sebahagiannya di pasir pantai.

Anda juga boleh melihat rangka paus yang tidak terkira banyaknya terdampar di pantai.

Terdapat beberapa syarikat yang menawarkan pakej lawatan ke lokasi ini. -Gambar Getty Images/iStockphoto

Jadi, tidak menghairankan apabila kawasan pantai ini jarang dikunjungi oleh penduduk tempatan atau pelancong.

Malah, ia sebenarnya ditutup kepada orang awam dalam usaha melindungi hidupan liar dan ekosistemnya. 

Namun, itu tidak bermakna ia mustahil untuk dilawati.

Terdapat ‘safari udara’ yang boleh ditempah, serta beberapa lawatan berpandu yang menawarkan peluang untuk melihat sebahagian kecil kawasan pantai yang luar biasa ini.

Taman Skeleton Coast adalah kawasan yang dibuka kepada pelawat, terletak berhampiran Sungai Hoanib dan hanya boleh diakses selepas beberapa jam perjalanan dari bandar atau perkampungan terdekat. 

Jika anda teringin untuk meneroka kawasan ini sendiri, terdapat beberapa syarikat pelancongan yang menawarkan pakej perjalanan ke Skeleton Coast.

Walaupun beriklim padang pasir, kawasan ini sebenarnya menjadi habitat kepada pelbagai jenis haiwan liar seperti gajah, zirafah, singa, dubuk dan juga lotong.

Secara teknikalnya, kawasan ini dianggap padang pasir kerana tidak mengalami hujan bermusim, dan pantainya memiliki cuaca yang panas dan kering, namun itu tidak menghalang laut bergelora menjadi sangat berbahaya.

Namun begitu, dengan landskap dramatik dan bukit pasir yang memukau, tidak hairanlah Skeleton Coast disenaraikan antara pantai berpasir keemasan terbaik di dunia oleh Beach Atlas. - Agensi.

 

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia