PERSIS Makam Empayar Pertama Qin di China yang dipenuhi dengan patung tentera Terracotta!
Bagi mereka yang suka menjelajah ke lokasi bersejarah, inilah salah satu destinasi yang wajib dikunjungi iaitu Hue, Vietnam.
Bandar Hue merupakan salah satu bandar warisan UNESCO yang juga dikenali sebagai ibu kota kuno Vietnam.
ARTIKEL BERKAITAN: Hati-hati nak beli tiket kapal terbang, MAS dan AirAsia baru kemas kini format tulis nama penumpang
Terletak lebih kurang 75 kilometer dari bandar Da Nang, ia merupakan sebuah bandar bersejarah yang dikelilingi dengan makam-makam lama, istana dan kuil.
Untuk artikel travel kali ini, mStar kongsikan coretan Wan Azfaroza Wan Athmar ketika kunjungannya ke Hue baru-baru ini, sebagai panduan bersama.
Makam Maharaja Khai Dinh.
1) Bagaimana hendak sampai ke Hue?
Tiada penerbangan terus dari Malaysia ke Hue. Kaedah paling strategik ialah menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Da Nang dan kemudian bergerak ke Hue dengan pengangkutan darat. Setibanya di Da Nang anda boleh memilih untuk menaiki van atau kereta ke Bandar Hue.
Bagi sesiapa yang sukakan sedikit kelainan seperti penulis maka keretapi adalah pilihan yang tepat. Penulis menaiki keretapi dari stesen Da Nang dikenali sebagai Hai Van Pass dan ia mengambil masa selama tiga jam untuk tiba di Bandar Hue.
Pastikan anda menempah gerabak untuk pelancong kerana ia lebih selesa dan anda boleh menikmati hiburan oleh pemuzik tradisional serta makanan tempatan di kafe yang terletak di gerabak khas. Panorama yang indah apabila kereta api menyelusuri tebing tinggi di tepi pantai membuatkan anda menghela nafas panjang kerana terpesona dengan keindahan alam.
Pemandangan di Imperial City.
2) Makam Maharaja yang mana ingin dilawati?
Makam Maharaja Khai Dinh merupakan tempat yang wajib dilawati sekiranya anda mempunyai obsesi dengan patung tentera Terracotta di China seperti penulis.
Walaupun bilangan patung tentera di makam ini jauh lebih sedikit dari Makam Pertama Maharaj Qin di China namun susun atur serta perletakan patung tentera tersebut persis seperti patung Terracotta.
Terletak 10km dari Bandar Hue, makam yang rumit pembinaannya ini merupakan makam Maharaja Vietnam dari tahun 1916 hingga 1925. Senibina oriental dan artifak kaca dari seluruh dunia juga dipamerkan di makam ini.
Penulis dan pemandangan dari luar kereta api.
3) Di mana kota larangan di Hue?
Kota Imperial di Hue dikatakan sebagai kota larangan suatu ketika dulu. Hanya mereka yang berdarah raja, mahupun kerabat dan orang-orang penting kerajaan sahaja yang boleh memasuki kota ini. Kini pelancong dapat memasuki Kota Imperial ini.
Oleh kerana pengaruh China yang kuat maka senibina kota ini umpama kota-kota diraja bersejarah di China. Kota ini mempunyai tembok setinggi enam meter dan sepanjang 2.5km mengelilingi benteng itu dibina seawal 1800an.
Kota Imperial ini terletak tidak jauh dari Bandar Hue jadi sekiranya anda menginap di Bandar Hue jangan lupa untuk mengunjungi kota larangan ini.
Persembahan tradisional dalam gerabak kereta api.
4) Di mana tempat menginap di Hue?
Ada pelbagai tempat untuk menginap di Bandar Hue ini mengikut kepada bajet serta citarasa masing-masing. Selari dengan tema perjalanan kali ini menyusuri sejarah era pemerintahan maharaja Vietnam maka penulis memilih untuk menginap di Azerai La Residence kerana sejarah dan konsep hotel ini.
Lokasi dari stesen keretapi Bandar Hue ke resort juga hanya mengambil masa 10 minit sahaja dengan berjalan kaki. Dibina pada tahun 1930an, pelbagai selebriti, orang kenamaan serta kerabat diraja memilih untuk menginap di sini.
Penulis terpukau dengan tema yang dibawa oleh hotel ini dengan mengekalkan deko senibina Perancis dari mula pembinaannya. Di suatu sudut resort terdapat lukisan 13 maharaja yang pernah memerintah Vietnam dan juga pahlawan serta orang kenamaan pada era pemerintahan raja-raja ini.
Lawatan ke Bandar Hue sememangnya membuka mata penulis terhadap keunikan warisan dan sejarah Vietnam yang kaya dan memukau.
Dari perjalanan indah melalui Hai Van Pass, ke makam megah Maharaja Khai Dinh, hinggalah ke Kota Imperial yang penuh misteri, setiap detik di sini terasa seperti mengembara ke masa silam.
Apatah lagi, penginapan di Azerai La Residence memberikan pengalaman yang cukup bermakna dalam menjiwai zaman kegemilangan maharaja Vietnam.
Jika anda mencari destinasi yang penuh budaya, sejarah dan keindahan, Hue adalah pilihan yang sukar ditandingi.