SEORANG wanita Malaysia yang melancong ke China berkongsi pengalamannya menaiki teksi tanpa pemandu di Shenzhen.
Menerusi video berdurarsi 59 saat [Tonton Video], wanita yang dikenali sebagai Lysa itu berkongsi detik menarik ketika menggunakan perkhidmatan teksi pandu sendiri atau lebih dikenali sebagai 'robotaxi'.
Perkongsian Lysa itu sekali gus menepis tanggapan segelintir pihak yang menganggap melancong ke China sebagai membosankan.
"Hari ni kita nak naik kereta tanpa pemandu, let's go," kata Lysa yang kemudian menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah jenama Lexus.
Berdasarkan video tersebut, SUV berwarna putih itu dipandu sepenuhnya secara automatik, tanpa kehadiran pemandu manusia.
Perkhidmatan Taxirobot tersedia di beberapa bandar utama di China.
Lebih mengagumkan, kenderaan itu mampu membunyikan hon sebaik tiba di lokasi pelanggan menunggu sebagai tanda 'sudah sampai'.
Di dalam kenderaan pula tersedia skrin pintar yang memaparkan laluan perjalanan, keadaan trafik semasa dan persekitaran secara langsung.
Lysa menyifatkan pengalaman itu sebagai luar biasa dan menggambarkan kenderaan tersebut sebagai teksi robot yang bukan sahaja canggih dan selesa, tetapi juga murah.
Tambang untuk perjalanan sejauh 3.1 kilometer hanya berharga 21 yuan (RM12.42), malah dengan diskaun sebanyak 10.1 yuan, ia menjadi jauh lebih murah daripada teksi konvensional.
Robotaxi kini semakin berkembang pesat di China dan menjadi fenomena baharu dalam dunia pengangkutan.
Perkhidmatan Robotaxi kini tersedia di beberapa bandar utama termasuk Beijing, Wuhan dan Shenzhen, dengan harga tambang yang kompetitif serta tawaran diskaun menarik kepada pengguna.