suria

Pelancong Thailand ‘disidai’ polis Indonesia, kes hilang telefon bimbit dipandang remeh... Lepas viral terus dapat layanan VIP

Antara foto yang diambil Jenbiverse di balai polis Indonesia.

BAGI mana-mana pelancong, polis adalah individu pertama yang dicari apabila berhadapan kesulitan.

Maka tidak hairanlah apabila ramai yang gemar berkongsi pengalaman berurusan dengan polis selepas mengunjungi sesebuah negara.

Di laman Thread, seorang lelaki warga Thailand iaitu Jenbiverse meluahkan rasa kecewa apabila dia tidak mendapat bantuan sewajarnya ketika berurusan di sebuah balai polis di Indonesia.

Dakwanya yang kehilangan telefon bimbit, sepanjang tempoh hampir sejam berada di lokasi tersebut, tiada seorang anggota polis yang datang menemuinya bagi membantu mengatasi masalah dialami.

"Maaf nak cakap, tapi polis di Indonesia memang langsung tidak berguna. Saya berada di balai polis selama sejam, tetapi tiada seorang pun pegawai yang datang bercakap dengan saya," dakwanya.

Lebih mengejutkan apabila dia turut mendakwa terdapat anggota polis yang leka menonton drama di komputer.

"Polis yang duduk berhampiran saya pun leka menonton filem dengan tenang... apa ni?" ajunya kesal sambil berkongsi beberapa gambar di balai polis terbabit.

Pasukan polis yang hadir selepas hantarannya tular.

Pasukan polis yang hadir selepas hantarannya tular.

Hantaran yang dibuatnya itu mengundang pelbagai reaksi termasuk beberapa pelayar yang dipercayai rakyat Indonesia.

Susulan itu, dia membuat hantaran kedua dan memohon maaf atas kenyataan yang dikeluarkan.

Namun, Jenbiverse menegaskan bahawa apa yang dinyatakan itu adalah benar sambil berkongsikan butiran kejadian.

"Saya nak minta maaf kepada semua rakan Indonesia kalau ada perkataan saya yang tidak sesuai terutama tentang sistem polis di negara anda, tapi saya tidak menipu.

"Pada hari Sabtu (pukul 1 pagi Ahad), saya berada di sana selama dua jam, mereka tanya sama ada saya tahu kata laluan Apple ID.

"Ya saya tahu, tapi perlu pengesahan dari peranti Apple lain, jadi saya tidak boleh akses dan telefon yang hilang itu sudah dimatikan.

"Mereka langsung tiada idea lain untuk membantu saya, malah tidak mencadangkan supaya laporan polis dibuat," jelasnya yang ke Indonesia bagi menghadiri konsert JIS.

Bagaimanapun dakwanya lagi, pada pukul 1 pagi Isnin, dia terpaksa menghabiskan kira-kira dua jam di balai polis namun malangnya tiada anggota yang datang.

Anggota bomba yang membantunya tanpa mengira waktu.

Anggota bomba yang membantunya tanpa mengira waktu.

"Kemudian semalam (pukul 1 pagi hari ini), saya habiskan lagi sejam setengah di situ tapi sekali lagi tiada pegawai polis bercakap dengan saya.

"Kecuali seorang mangsa yang datang untuk membuat laporan dan cuba menterjemahkan apa yang saya cakap kepada polis.

"Mungkin disebabkan polis di situ tidak boleh berbahasa Inggeris, tapi saya tak nampak langsung kesungguhan pasukan polis untuk membantu saya,” tambahnya yang masih berada di republik tersebut.

Hantaran yang dibuatnya itu turut mendapat perhatian dua wanita dari Jakarta dan tiga anggota bomba yang kemudian menghubungi bagi menghulurkan bantuan pada awal pagi Isnin.

"Mereka bertanya pelbagai butiran tentang telefon dan diri saya, serta berjanji akan memaklumkan jika ada perkembangan lanjut.

"Walaupun hanya bertemu sekejap, tapi layanan mereka jauh lebih baik berbanding pengalaman saya tunggu berjam-jam di balai polis seorang diri," tambahnya sambil menzahirkan ucapan terima kasih atas bantuan yang diterima.

Artikel Lain