MENEMPUH perjalanan panjang untuk bercuti ke destinasi tertentu pasti memenatkan tubuh dan minda.
Apatah lagi pada cuti hujung minggu selama dua hari yang sering dirasakan terlalu singkat untuk mereka yang sentiasa sibuk bekerja.
Sebenarnya, tak perlu pun bersusah payah bercuti ke destinasi jauh demi mencari ketenangan, sebaliknya anda boleh saja menempah hotel di ibu kota, seterusnya merealisasikan impian bercuti secara santai.
Untuk tujuan ini, Hilton KL Sentral adalah satu pilihan tepat kerana apa yang sering didambakan oleh mereka yang gemar bercuti sambil 'healing' ada ditawarkan di sini.
Sama ada datang dengan pasangan, rakan-rakan atau berkeluarga, hotel bertaraf lima bintang ini bukan sahaja menawarkan penginapan selesa tetapi juga pengalaman kulinari serta aktiviti memanjakan diri yang luar biasa.
'Syurga seafood', pengalaman gastronomi terbaik
Aktiviti makan kini sudah menjadi sebahagian daripada percutian, maka tidak hairanlah hotel ini amat mementingkan aspek gastronomi apabila begitu teliti terhadap setiap hidangan yang diketengahkan kepada tetamu sama ada tempatan atau antarabangsa.
Melangkah masuk ke restoran Vasco's dengan dekorasi dalaman menakjubkan, ia ibarat memasuki satu dunia kulinari yang menyajikan aneka hidangan unik dan menyelerakan, dari makanan lokal, Asia hinggalah kontinental seperti Jepun dan Itali.
Di sini, anda akan menikmati pengalaman bufet sarapan pagi, tengah hari dan makan malam yang keenakannya pasti tidak dapat dilupakan dengan aneka seleksi makanan.
Menginap di hotel ini sememangnya akan membuatkan anda kenyang sepajang masa.
Andai ditanya mereka yang pernah menjadi tetamu di sini, sudah tentu makan malam yang meriah dengan 'seafood' segar menjadi pengalaman paling manis.
Menurut chef sous eksekutif, Mohd Ridzwan Mohamed Rasit, hotel ini boleh diibaratkan syurga buat 'kaki makan' khususnya penggemar makanan laut.
Katanya lagi, setiap hujung minggu Vasco's yang popular dengan kemeriahan hidangan bufet akan dipenuhi pengunjung dengan sajian berasaskan 'seafood' menjadi tarikan utama.
Pengunjung berpeluang melihat cef-cef berpengalaman menyediakan makanan secara 'live'.
Siapa saja yang tidak teruja apabila dapat menikmati resipi istimewa berasaskan ketam, udang dan 'Boston Lobster' sepuas-puasnya serta memilih aneka siput serta tiram segar di kaunter 'seafood market'.
Tetamu juga dapat menyaksikan sendiri cef-cef berpengalaman menunjukkan kemahiran mereka memasak secara 'live' di dapur.
Memori minum petang
Ruang The Lounge dengan gaya elegan juga menjanjikan pengalaman minum petang yang indah, tidak kira bersama pasangan atau rakan-rakan.
Di sini, anda boleh menikmati set minum petang bertingkat sambil menghadap taman tasik serta telinga mendengar alunan melodi lembut piano yang dimainkan secara 'live'.
Minum petang dalam suasana tenang, santai dan mendamaikan.
Pilih saja teh atau kopi dan nikmatilah keenakan rasa kuih muih, skon, kek serta pastri secara santai.
Pendek kata, segala kekusutan dan masalah dapat dilupakan seketika apabila berada di sini!
Spa sempurnakan percutian
Trip 'healing' semestinya tidak sempurna jika anda pulang tanpa memanjakan diri di spa.
Anda boleh memilih pakej atau rawatan yang dimahukan dan apa yang pasti, produk yang digunakan adalah premium dengan staf yang ada juga terlatih serta mesra.
Menariknya spa di sini, tetamu boleh memilih sama ada mahu melakukannya di bilik khas atau di luar sambil menikmati pemandangan di kolam renang dan melihat kanak-kanak riang bermain air.
Percutian tidak lengkap jika tidak memanjakan diri dengan urutan atau rawatan di spa.
Semestinya memanjakan diri di bilik khas lebih memberikan kepuasan kerana suasana, aroma dan dekorasinya cukup menenangkan.
Bagaimanapun urutan kaki yang dilakukan tukang urut berpengalaman di pinggir kolam renang sambil menghirup air kelapa segar juga sudah cukup untuk membuatkan anda pulang dengan hati gembira.