suria

Ditahan sebab sugul... Pelancong Malaysia diarah bogel, buat x-ray! Ini 5 panduan jika anda disiasat di ‘airport’

Pemeriksaan ketat di bahagian imigresen lapangan terbang dilakukan bagi memastikan pengembara mematuhi peraturan yang ditetapkan. -Gambar hiasan

BAGI anda yang gemar melancong ke luar negara, pastinya sudah terbiasa dengan pemeriksaan imigresen atau kastam di lapangan terbang.

Namun, lain pula kisah seorang lelaki ini apabila percutiannya ke Semarang, Indonesia, bulan lalu bertukar menjadi pengalaman paling mendebarkan dalam hidupnya.

Menurut lelaki berkenaan, semua urusan berjalan lancar sebaik tiba di lapangan terbang namun selepas selesai mengimbas kod QR aplikasi All Indonesia untuk keluar dari kawasan ketibaan, dia tiba-tiba dipanggil oleh pegawai kastam yang ingin memeriksa pasportnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita dedah taktik halus scammer warga asing di KLIA... Tak minta duit tapi mangsa ‘auto’ hulur konon nak jadi ‘hero’

Pegawai tersebut kemudian memintanya mengikuti mereka ke sebuah bilik khas selepas melihat banyak cop negara Thailand pada pasport miliknya.

"Mereka mula soal siasat, tanya datang Semarang buat apa, dah berapa kali ke Indonesia. Lepas tu mereka minta tengok tiket kapal terbang, tempahan hotel dan tiket tren," kata @mreetrav88 dalam perkongsian di laman Threads.

Menurut lelaki itu, pegawai berkenaan turut memeriksa dompet dan bagasinya, malah menahan semua kad debit untuk semakan lanjut. 

"Masa punggah beg, mereka terkejut tengok bawa cash banyak... dalam 2 juta Rupiah. Mujur duit tu mereka bagi balik," kongsinya lagi. 

Keadaan menjadi semakin tegang apabila dia diarahkan masuk ke bilik kecil untuk pemeriksaan badan.

"Mereka suruh saya bogel untuk diperiksa. Syukur mereka tak buat pemeriksaan fizikal seperti dalam TV yang sampai jolok dubur guna tangan nak periksa kot-kot ada dadah," ceritanya.

Pengembara perlu memberi kerjasama dengan mematuhi peraturan untuk melancarkan prosedur keselamatan. -Gambar hiasan

Tidak cukup dengan itu, lelaki berkenaan berkata dia turut dibawa ke hospital berhampiran untuk menjalani ujian X-ray dan air kencing.

Katanya, pegawai kastam juga memintanya menunjukkan perbualan di aplikasi Telegram dan WhatsApp, termasuk perbualan grup kerja dan mesej bersama rakan di Jakarta, bagi memastikan dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan aktiviti mencurigakan.

Selepas beberapa jam disoal siasat dan menjalani pemeriksaan penuh, dia akhirnya dibenarkan beredar dan pasportnya dipulangkan semula.

"Mereka kata semua ini prosedur keselamatan. Saya rasa mereka syak saya seludup dadah sebab ada banyak cop Thailand dalam pasport.

"Saya memang tak buat salah, tapi waktu tu menggeletar sangat dah. Mungkin kebetulan muka tak cukup tidur, mereka fikir saya ambil atau sembunyikan dadah dalam usus atau perut.

"Syukur tak ada hal yang tak diingini atau dihantar pulang," ujarnya lagi.

Walaupun pengalaman itu meninggalkan trauma, lelaki berkenaan menganggap ia sebagai pengajaran penting buat semua pelancong agar lebih bersedia dan berhati-hati ketika berada di luar negara.

Dia turut berkongsi beberapa tip semasa berdepan situasi mencemaskan, sebagai panduan kepada pelancong lain:

1. Kekal tenang dan jangan tunjuk panik, elakkan nampak gelisah kerana boleh menimbulkan syak wasangka.

2. Jangan tanya soalan provokatif, patuhi arahan pegawai bertugas dan beri kerjasama sepenuhnya.

3. Elak melawan atau berdebat, jangan cipta keadaan yang boleh buat mereka senarai hitam anda.

4. Sediakan semua dokumen penting siap dalam telefon, seperti tiket penerbangan, tempahan hotel dan pengangkutan.

5. Pastikan telefon bebas daripada kandungan mencurigakan termasuk mesej, gambar atau aplikasi yang boleh menimbulkan salah faham.

6. Jangan bawa barangan terlarang atau sukar dijelaskan asal-usulnya.

 

Artikel Lain