suria

Thailand sedang berkabung, kerajaan keluarkan arahan rasmi... Ini panduan untuk pelancong, sila peka warna baju

Thailand menjadi salah satu destinasi yang kerap dikunjungi pelancong Malaysia. -Gambar hiasan

SELURUH Thailand kini diselubungi suasana hiba selepas Bonda Ratu Sirikit mangkat minggu lalu, sekali gus menandakan bermulanya tempoh berkabung selama setahun di negara itu.

Mendiang Ratu Sirikit merupakan permaisuri kepada mendiang Raja Bhumibol Adulyadej dan pernah memerintah dari April 1950 hingga Oktober 2016. 

Menurut kenyataan rasmi Pejabat Diraja Thailand, baginda telah dimasukkan ke hospital sejak 2019 akibat beberapa masalah kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita dedah taktik halus scammer warga asing di KLIA... Tak minta duit tapi mangsa ‘auto’ hulur konon nak jadi ‘hero’

Baginda mangkat pada 24 Oktober lalu selepas mengalami jangkitan pada saluran darah. 

Jasad Ratu Sirikit kini ditempatkan di istana diraja dan akan disemayamkan selama setahun sebelum upacara pembakaran mayat (pembakaran diraja) dijalankan.

TOPSHOT - Mourners hold portraits of Thailand's former Queen Sirikit and King Bhumibol Adulyadej as they line up to pay respects to the late queen at the Grand Palace in Bangkok on October 26, 2025. The year-long funeral ceremony of Thailand's former Queen Sirikit started October 26, with grieving royalists set to salute the procession bringing her remains to lie in state at Bangkok's Grand Palace. (Photo by Chanakarn Laosarakham / AFP)

Rakyat Thailand memegang potret mendiang Ratu Sirikit dan Raja Bhumibol Adulyadej. 

Bagi menghormati pemergian Ratu Sirikit, kerajaan Thailand telah mengumumkan beberapa langkah dan arahan rasmi untuk dipatuhi oleh rakyat serta pelancong, termasuklah:

1. Bendera dikibarkan separuh tiang

Semua pejabat kerajaan, institusi pendidikan dan agensi awam diwajibkan mengibarkan bendera separuh tiang selama 30 hari bermula 25 Oktober.

2. Pakaian berkabung

Penjawat awam dan pegawai kerajaan perlu mengenakan pakaian berkabung selama setahun, sebagai tanda penghormatan.

Menurut laporan Thailand Business News, rakyat termasuk pelancong asing digalakkan memakai pakaian berwarna gelap atau warna suram (tidak menonjol) selama 90 hari sebagai tanda hormat.

3. Etika awam dan hiburan

Walaupun pusat hiburan tidak diarahkan tutup, kerajaan meminta agar aktiviti dan acara umum 'diperlahankan' bagi menghormati suasana duka. Media juga diminta menyesuaikan kandungan agar selari dengan suasana berkabung.

Meskipun suasana negara kini lebih tenang dan penuh kesedihan, pihak berkuasa menjelaskan bahawa aktiviti pelancongan tidak akan terjejas.

Bagi mereka yang merancang untuk berkunjung ke negara jiran itu dalam masa terdekat, diingatkan supaya peka dan menghormati suasana berkabung yang sedang berlangsung ketika ini dan patuhi garis panduan yang ditetapkan.

Artikel Lain