BALI di Indonesia merupakan salah sebuah destinasi pelancongan yang cukup popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Namun, di sebalik keindahan panorama dan tarikan budaya yang memukau, tersimpan sisi gelap Bali yang mungkin masih ramai tak sedar.
Di Threads, seorang wanita tempatan memberi pesanan kepada orang ramai agar berhati-hati ketika melancong di destinasi popular itu.
Menurut wanita berkenaan, dia dan rakannya pernah menjadi mangsa ragut ketika melancong di Bali.
"Telefon kawan saya kena ragut dekat Bali. Saya punya telefon pun dulu pernah kena ragut, macam tu je dia tarik.
"Jadi kalau anda ke Bali, tolonglah ekstra hati-hati. Tengah main telefon atau jawab panggilan kat jalan pun boleh kena tarik telefon tu," kongsinya.
Menurut wanita itu lagi, pelancong juga perlu berhati-hati dengan individu yang menawarkan perkhidmatan teksi motosikal.

Pelancong perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. -Gambar hiasan AI
"Percayalah cakap saya, ia berbahaya terutamanya abang-abang Gojek yang tawarkan nak hantar ke sana sini. Kena hati-hati.
"Telefon saya kena ragut dengan abang Gojek tu sendiri. Mereka ambil kesempatan bila orang luar jenis baik sangat. Bali tak selamat, kena ekstra hati-hati," dakwanya lagi.
Berikut dikongsikan 5 tip elak diragut ketika bercuti:
1. Elak bawa barang berharga secara terbuka
Jangan letak dompet, telefon atau kamera di tangan atau poket yang mudah dicapai. Gunakan beg silang badan atau beg yang boleh dikunci.
2. Jangan tunjuk wang atau telefon di tempat awam
Elakkan mengeluarkan wang tunai atau telefon di kawasan sesak, terutama di stesen bas, pasar atau tepi jalan.
3. Sentiasa peka dengan sekeliling
Perhatikan orang yang mencurigakan atau terlalu rapat. Kes ragut selalunya berlaku secara pantas ketika mangsa leka.
4. Gunakan beg yang selamat
Pilih beg yang mempunyai zip atau kunci, dan galas di bahagian depan badan bila berjalan di kawasan sesak atau gelap.
5. Elak berjalan seorang diri di kawasan sunyi
Jika perlu, berjalan bersama rakan atau pilih laluan yang terang dan ramai orang. Ragut selalunya berlaku di tempat yang sepi.


