suria

Kerana 1 borang, kereta disekat masuk Hatyai! Wanita kini faham 'plot twist' lepas kaji kesilapan di sempadan

Ramai rakyat Malaysia memandu kenderaan sendiri untuk bercuti di Hatyai.

JARAK ke Hatyai, Thailand, yang dekat membolehkan rakyat negara ini berkunjung ke sana dengan menggunakan pengangkutan darat sahaja.

Selain kereta api, bas serta van pelancongan, ramai juga rakyat Malaysia yang pergi ke sana menggunakan kenderaan sendiri.

Namun, seorang pengguna Thread mendakwa dia dikenakan kompaun gara-gara kesilapan ketika memandu masuk kereta ke negara itu.

"Aku kena denda 10,000 baht bersamaan RM1,300. Ceritanya macam ni, tahun ni aku masuk berjalan ke Hatyai. Proses imigresen Malaysia dan Thailand tiada masalah.

"Sampai je bahagian kastam untuk declare kereta, dia cakap kereta aku tak boleh masuk sebab tahun lepas tak serah customs declaration form kat booth nombor lapan.

"Jadi dia beritahu ada dua pilihan. Masuk tanpa kereta atau drive kereta balik ke Malaysia. Menangis aku depan kastam Thai tu," kongsi wanita itu.

Menurutnya lagi, dia juga hairan kerana tidak diminta menyerahkan borang itu ketika keluar dari Thailand pada tahun lalu.

Hatyai turut dikenali sebagai 'syurga makanan' dalam kalangan pelancong. 

"Terkejut sebab kena denda. Aku rasa macam pelik, kalau borang tu penting, kenapa aku tak serah?

"Kenapa orang kat booth imigresen tak ada minta masa aku keluar Thailand tahun lepas?" tulis wanita itu lagi.

Selepas berbincang dengan keluarga, wanita itu berkata mereka sepakat untuk membayar denda dan meneruskan perjalanan ke Hatyai.

"Aku bawa duit belanja 5,000 baht, tapi kena denda dua kali ganda. Tapi adik beradik berkeras nak masuk, mereka bayarkan denda aku 10,000 baht.

"Aku pun tak boleh nak salahkan sesiapa, sebab memang salah aku. Pengajarannya kena sentiasa alert. Sebab ni undang-undang negara orang. Ikut je la," tulisnya lagi.

Dakwaan wujudnya 'plot twist'

Enggan pisang berbuah dua kali, wanita itu berkata dia mengambil langkah berhati-hati ketika mahu meninggalkan Thailand kali ini.

"Bila nak keluar Thailand untuk trip ni, aku perhatikan betul-betul. Aku nak rungkai, kenapa dan bagaimana aku tak serahkan borang ni (dalam kunjungan lepas)?

"Lepas dah cop pasport keluar Thailand, depan sikit ada booth lapan dan ada staf jaga situ tapi buat-buat tak tahu je. Kereta lalu dia tak sekat pun.

"Untuk kereta yang alert, memang akan berhenti serah borang tu dan baru dia ambil. Kalau yang pertama kali dan kebetulan pula kereta depan tak ada, memang akan keliru dan terus jalan tanpa berhenti untuk serahkan borang.

"Aku macam tertanya-tanya, kalau borang ni penting, kenapa mereka tak sekat dan minta borang (daripada) setiap kereta dengan nombor pendaftaran Malaysia yang lalu?" soalnya lagi.

 

Artikel Lain

Daddy Rock meninggal dunia