LAKSA merupakan antara makanan kegemaran masyarakat Malaysia yang sering dijadikan hidangan utama bagi rumah terbuka atau makanan sampingan di majlis kenduri.
Proses menyediakan kelengkapan dan memasak yang lama menyebabkan kebanyakan individu akan menghasilkan kuah laksa sehari sebelum program dianjurkan.
Bagaimanapun, kesilapan dalam teknik memasak boleh menyebabkan kuah laksa cepat berasa masam, basi dan berketul-ketul.
Menerusi hantaran di TikTok, seorang peniaga laksa di Melaka berkongsi cara untuk mengelakkan kuah cepat basi.
Menurut Kak Mar, kaedah yang dikongsikannya itu merupakan amalan yang dilakukannya apabila dia memasak kuah laksa.
Malah katanya, teknik itu juga menjadikan rasa kuah laksa lebih sedap dan beraroma.
"Cara nak tahu kuah laksa dah ready dan tahan lama adalah dengan melihat buih yang terhasil di keliling periuk.
"Sebelum masak, ia akan berwarna putih. Apabila buih sudah sebati dengan warna kuah, itu tandanya ia sudah siap.
"Bahagian tengah periuk pun tidak kelihatan buih. InsyaAllah kuah laksa awak tidak basi, dan tahan lama," jelasnya yang berniaga di Krubong Permai.
Kak Mar juga menyarankan supaya kuah laksa dipanaskan sehingga mendidih sekali lagi pada keesokan harinya.
Malah katanya, cili dan bawang tidak perlu ditumis terlebih dahulu sebaliknya dicampur bersama bahan-bahan lain dan isi ikan sehingga masak sepenuhnya.