DALAM dunia yang semakin mencabar, ramai individu mencari rezeki dengan berniaga untuk mengejar keuntungan.
Namun begitu, masih wujud insan berhati mulia yang berniaga bukan semata-mata untuk kaya, tetapi kerana minat, kesungguhan dan keikhlasan.
Di laman Facebook, seorang individu berkongsi kisah pertemuannya dengan seorang peniaga kerepek pisang yang bukan sahaja ramah, malah tidak lokek berkongsi petua membuat kerepek yang rangup dan sedap, biarpun hanya berniaga kecil-kecilan dengan membuka but kereta.
ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga kongsi resipi ayam goreng garing di luar, isi dalam kekal lembut... Patutlah laku keras!
"Aku ambil sebungkus kerepek pisang batu. Harganya RM12 je. Apabila rasa ya Allah, lembut dan rangup. Tak lemau, serius puas hati. Lepas tu pakcik tu kongsi petua.
"Nak kerepek tahan lama, kena jemur pisang dulu sampai betul-betul kering sebelum goreng.
"Lepas tu apabila goreng, guna api sederhana. Jangan terlampau kuat. Minyak pun jangan pakai lebih daripada dua hingga tiga kali.
Kerangupan kerepek pisang bergantung kepada teknik penyediaannya. -Gambar hiasan
"Kena sabar sebab kalau hangus sikit je, rasa dia dah lari. Apabila dah sejuk, bungkus masa masih fresh. Jangan simpan sampai esok baru packing. Nanti lemau," kongsinya dalam hantaran berkenaan.
Tambah individu tersebut, kesemua kerepek pisang yang dijual adalah 100 peratus air tangan warga emas berkenaan.
"Dia buat sendiri semua dari kupas, hiris, jemur sampai bungkus. Masa aku bayar, dia cakap... ini je kerja pakcik. Dapat lepas minyak kereta. Tapi kalau ada orang rasa dan suka, pakcik dah cukup syukur.
"Kalau anda jumpa pakcik ni nanti cubalah beli satu. Mungkin bukan kerepek yang korang perlukan, tapi kisah dan jiwa dia tu yang akan buat kita rasa sesuatu," kongsinya lagi.