PENANGAN tular di media sosial menyebabkan menu pencuci mulut Itali iaitu tiramisu kembali menjadi kegilaan ramai tahun ini.
Malah, terdapat beberapa kedai dan kafe mula menjual tiramisu dengan harga yang dianggap tidak masuk akal.
Sempena Hari Raya Aidiladha kali ini, anda sebenarnya boleh menghasilkan tiramisu versi sendiri untuk dihidangkan buat tetamu yang datang menziarah.
Berikut kami kongsikan bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat tiramisu:
1. Lapisan krim
250g keju Mascarpone (sejukkan dulu)
250ml krim putar (whipping cream)
Tiga sudu besar gula kastor (boleh ubah ikut tahap kemanisan)
2. Lapisan biskut
Satu paket biskut meringue lady finger (jenama Savoiardi)
Satu cawan air kopi segera pekat (sejukkan dulu, boleh guna Nescafé)
3. Hiasan
Serbuk koko untuk ditabur
Berikut pula cara penyediaannya:
1. Sediakan air kopi: Bancuh sesudu besar serbuk kopi segera dengan secawan air panas. Biarkan sejuk.
2. Sediakan krim tiramisu: Putar krim bersama gula hingga kembang dan kental (soft peak). Masukkan keju Mascarpone, gaul sebati perlahan-lahan hingga berkrim dan licin.
3. Susun lapisan: Celup biskut lady finger ke dalam air kopi (sekejap saja, jangan sampai lembik).
Susun biskut dalam loyang atau bekas. Ratakan separuh campuran krim di atas biskut. Ulang satu lagi lapisan biskut dan krim.
4. Sejukkan: Tutup bekas dan simpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya empat jam atau semalaman sebelum dihidang.