suria

Terlalu sedih kucing kesayangan mati, niat nak buat tahlil... Ini penjelasan pendakwah untuk pencinta haiwan

Islam tidak menganjurkan umatnya melakukan tahlil terhadap haiwan peliharaan yang mati. -Gambar hiasan

KEHILANGAN haiwan peliharaan yang sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri semestinya memberi kesan mendalam kepada pemiliknya.

Disebabkan hubungan akrab serta perasaan kasih yang wujud, ada pemilik mahu memberikan penghormatan terakhir, termasuklah mengadakan majlis tahlil atau bacaan doa untuk haiwan kesayangan yang telah mati.

Perkara ini hangat dibincangkan di media sosial selepas seorang usahawan serta pempengaruh meluahkan hasrat mengadakan majlis tahlil untuk kucing kesayangannya yang telah mati.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jika sah lafaz talak dua, tak boleh rujuk lagi” - PU Syed ulas Siti Jamumall dicerai 3 kali ketika ‘live’

Walaupun niat itu lahir daripada rasa kasih, timbul persoalan apakah hukum melakukan amalan ini terhadap haiwan seperti mana biasa dilakukan untuk manusia yang meninggal dunia.

Persoalan berkenaan dirungkai dengan penuh tuntas oleh pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed. 

Haiwan peliharaan yang mati sebaiknya dilupuskan dengan sempurna, iaitu dengan menanamnya. -Gambar hiasan

"Buat tahlil untuk haiwan tak pernah dianjurkan dalam Islam. Kerana haiwan adalah makhluk Allah yang tidak dipertanggungjawabkan seperti manusia yang memerlukan doa daripada insan lain seperti kaum keluarga, sahabat handai dan seluruh kaum muslimin jika mereka telah meninggal dunia.

"Perbuatan nak buat tahlil untuk haiwan adalah satu bentuk cara yang salah dalam mengenang haiwan tersebut.

"Namun kita dianjurkan untuk menghiburkan hati sesiapa yang dalam kesedihan disebabkan kehilangan sesuatu yang mereka sayang," katanya kepada mStar.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, PU Syed turut memberi contoh peristiwa di mana Rasulullah SAW pernah menghiburkan seorang kanak-kanak yang kematian burung peliharaannya.

"Nabi pernah bergurau dengan seorang budak yang kehilangan burung. Saidina Anas bin Malik R.A berkata, 'sesungguhnya Rasulullah SAW selalu bergurau dengan kami sehingga Baginda pernah bersabda kepada adik kecilku, maksudnya:

"Ya Aba Umair, apa yang dibuat oleh Nughair? (Muttafaqun Alaih)

"Nughair adalah burung kecil yang menyerupai burung merpati. Adik kepada Saidina Anas sering bermain dengan burung tersebut. Namun kemudiannya burung itu mati.

"Anak kecil itu berasa sedih. Lalu Baginda SAW pun bergurau dengannya untuk membuat dia gembira.

"Jadi dalam kes kehilangan haiwan tersayang lebih-lebih lagi jika pemilik itu telah dewasa, hendaklah dia bersabar dan boleh dapatkan haiwan lain yang seumpamanya," terang beliau.

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia