suria

Hilang sabar, nekad putus silaturahim dengan individu khianati kita? Ini penjelasan ustaz

Pelbagai punca boleh menjadi penyebab sesuatu hubungan menjadi keruh. -Gambar hiasan AI

RAMAI antara kita pernah berdepan situasi dikhianati oleh individu terdekat sama ada sahabat mahupun ahli keluarga. 

Lalu timbul persoalan, adakah kita dibenarkan untuk memutuskan hubungan silaturahim?

Menurut pendakwah Ustaz Azhar Idrus (UAI), penting untuk kita fahami terlebih dahulu maksud sebenar silaturahim.

Silaturahim berasal daripada dua perkataan iaitu 'silah' yang bermaksud hubungan dan rahim pula membawa maksud perut.

"Adik-beradik seibu sebapa, atau adik-beradik seibu. Itulah silaturahim. Tapi sekarang ni kita dah (beranggapan) lebih dari tu. 

"Kita kawan dekat Facebook pun cakap silaturahim juga. Tak salah tetapi tak tepat," jelasnya.

Kata UAI, hubungan sebenar silaturahim merujuk kepada mereka yang datang dari perut yang sama, iaitu adik-beradik seibu atau seibu sebapa. 

Perselisihan faham boleh jadi punca sesuatu hubungan itu putus. -Gambar hiasan AI

Hubungan dengan sepupu juga boleh dianggap silaturahim, tetapi secara teknikalnya ia kurang tepat.

Sementara itu, hubungan dengan kenalan biasa atau rakan media sosial bukanlah termasuk dalam kategori silaturahim yang wajib dipelihara dari segi hukum, meskipun tidak salah jika dianggap sebagai satu bentuk hubungan.

Namun begitu, bagaimana pula jika individu tersebut adalah ahli keluarga tetapi bersikap khianat atau membawa mudarat kepada kita?

Menurut UAI, dalam hal ini niat memainkan peranan penting.

"Kita niat jauhkan diri supaya menolak mudarat daripada (pengkhianatan) dia kerana kaedah yang kita gunakan adalah kemudaratan haruslah kita jauhkan.

"Kalau kawan kita jahat sangat sampai boleh jatuh atau melakukan perkara yang jahat, maka kita jauhkan diri daripada dia.

"Bukan niat putus silaturahim. Niat menjaga diri kita daripada keburukan. Hukumnya dibolehkan," katanya.

Kesimpulannya, jika seseorang itu membawa keburukan atau mengkhianati kita, Islam membenarkan kita menjauhkan diri daripadanya demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan diri selagi bukan dengan niat memutuskan hubungan sesama Muslim.

Artikel Lain