suria

[V] Jemaah tanggal ihram, ganti pakai tuala untuk ke tandas... Mutawif beri penjelasan

Asyraf menjelaskan mengenai jemaah berihram yang mahu ke tandas. -Gambar hiasan AI (kanan)

BAGI jemaah lelaki yang sedang berihram, pastinya timbul banyak persoalan berkaitan larangan atau batas-batas yang perlu dijaga sepanjang tempoh ibadah tersebut. 

Antara persoalan sering ditanya adalah tindakan menanggalkan kain ihram dan menggantikannya dengan tuala kerana mahu ke tandas.

Menerusi satu perkongsian video di TikTok, mutawif bernama Ashraf menjelaskan bahawa tindakan itu dibolehkan.

"Pakai kain tuala itu bukan dalam bentuk bersarung, bercantum atau berjahit (seluar atau baju). 

"Jahitan yang dilarang adalah jahitan yang mencantumkan satu bahagian dengan bahagian yang lain,” ujarnya dalam video tersebut.

Tambahnya, kebanyakan tuala yang digunakan tidak dianggap sebagai pakaian berjahit kerana ia hanya mempunyai jahitan di bahagian tepi, bukan untuk mencantumkan dua bahagian.

Maka, tiada masalah untuk ke tandas dengan menanggalkan kain ihram dan menggantikannya dengan tuala.

Asalkan tuala tersebut tidak menyerupai pakaian berjahit seperti seluar atau jubah, ia tidak melanggar larangan ihram.

Ramai yang masih keliru mengenai larangan ketika berihram. -Gambar hiasan AI

Untuk pengetahuan umum, terdapat 13 pantang larang bagi kaum lelaki yang sedang dalam ihram, seperti mana dikongsikan oleh Salsabila Aflah Tour and Travel.

1. Memakai pakaian yang bersarung, berjahit atau bercantum seperti seluar, baju, stokin dan kasut bertutup.

2. Menutup kepala (contoh: memakai songkok, serban atau menutup dengan kain ihram).

3. Menutup muka.

4. Memakai sarung tangan.

5. Memakai bau-bauan atau wangi-wangian di badan, makanan dan minuman.

6. Memakai minyak pada rambut, janggut atau bulu muka lain.

7. Mencabut atau memotong rambut atau bulu di badan.

8. Memotong kuku.

9. Memotong atau mencabut pokok di tanah haram.

10. Memburu binatang darat.

11. Melakukan pendahuluan persetubuhan.

12. Melakukan hubungan intim (bersetubuh).

13. Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil untuk perkahwinan.

Ihram merujuk kepada satu keadaan suci setiap jemaah sebelum menunaikan ibadah haji atau umrah. 

Selepas memakai pakaian ihram jemaah perlu berniat di tempat yang ditetapkan iaitu miqat, selain melakukan amalan sunat seperti mandi dan solat sunat ihram.

Bagi jemaah lelaki, mereka hanya dibolehkan memakai dua helai kain tanpa jahitan sebagai pakaian khas menandakan bermulanya ibadah haji atau umrah manakala jemaah wanita tidak dibenarkan menutup muka dan tangan perlu sentiasa terdedah.

Keadaan ihram bukanlah satu pilihan, sebaliknya merupakan syarat wajib yang perlu dipenuhi oleh setiap individu yang ingin menunaikan ibadah haji atau umrah.

Artikel Lain