TIDAK dinafikan dalam kekalutan waktu, kita terkhilaf ketika sedang mengambil air wuduk.
Apa yang membimbangkan apabila kegusaran itu muncul selepas solat selesai ditunaikan.
Segelintir umat Islam cenderung untuk mengambil semula wuduk dan kembali mendirikan solat.
Anda yang pernah mengalaminya, ini penjelasan daripada Geng MKN atau Imam Masjid Kampung Nakhoda berhubung khilaf yang sering terjadi terutama melibatkan air wuduk yang menitis masuk semula ke dalam kolah atau gayung.
ARTIKEL BERKAITAN: Sah ke solat selepas terdengar laungan azan waktu lain? Ini penjelasannya
Berdasarkan senario yang dikongsikan, air wuduk dari muka telah terjatuh ke dalam gayung yang digunakan untuk membasuh kaki.
Ramai beranggapan air tersebut telah menjadi air mustakmal.
Air mustakmal ialah air suci yang telah digunakan untuk tujuan bersuci, seperti air basuhan daripada wuduk atau mandi wajib, yang hukumnya adalah suci tetapi tidak lagi boleh digunakan untuk menyucikan yang lain.
"Air mustakmal tidak mensucikan namun jika terjatuh ke dalam air mutlak yang jumlahnya lebih daripada dua kolah, air mutlak tidak akan terkesan.
"Ia tetap suci lagi menyucikan. Jika air mutlak kurang daripada dua kolah pula, ia tetap suci lagi menyucikan," jelasnya.
Namun begitu, perlu diketahui bahawa air mustakmal tersebut tidak boleh berubah dari segi warna, bau dan rasa.