SEJAK penghujung tahun 2023, perang antara Israel dengan Hamas menyaksikan angka korban rakyat Palestin meningkat kepada lebih 65,000 orang, dengan lebih 167,000 dilaporkan cedera.
Meskipun selepas hampir dua tahun, Israel masih berterusan melakukan pencerobohan dan penindasan terhadap rakyat Palestin termasuklah menyukarkan penghantaran bantuan kemanusiaan oleh negara lain.
Keadaan ini mengundang keprihatinan seluruh dunia, termasuk rakyat Malaysia yang semakin sedar akan pentingnya menunjukkan solidariti terhadap saudara seagama dan sesama insan yang tertindas.
ARTIKEL BERKAITAN: Haram tindik hidung! Reda suami tak ‘valid’, PU Syed ingatkan kewajipan patuh larangan Islam
Pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU (Pencetus Ummah) Syed berkata, wajib untuk umat Islam bersama-sama dengan saudara di Palestin dalam apa jua keadaan sama ada dengan doa, sokongan moral atau tindakan nyata seperti menyebarkan kesedaran mengenai kezaliman tentera Zionis.
Himpunan solidariti untuk Palestin yang sering mendapat sambutan rakyat Malaysia.
"Palestin dikenali juga sebagai bumi para nabi serta rasul dan di sana ada Masjidil Aqsa yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam.
"Pernah dibebaskan dua kali pada zaman Saidina Umar RA dan oleh Sultan Salahudin Al Ayyubi. Ia menjadi tempat ketiga yang suci bagi umat Islam.
"Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat". (Hadis Riwayat Muslim).
Justeru ujar PU Syed, berdosa hukumnya jika seseorang Muslim langsung tidak mengambil peduli atau bersikap tidak kisah tentang isu di Palestin.
"Berdosa... kerana umat Islam seperti satu tubuh yang jika sakit satu daripada bahagian tubuh itu, maka akan sakit tubuh yang lain. Apatah lagi sesama saudara Islam," ujarnya.
Kemusnahan bangunan akibat serangan berterusan dari tentera Israel.
Meskipun ada sesetengah pihak mengambil pendekatan untuk tidak menunjukkan sokongan atau solidariti secara terbuka di media sosial, menurut pendakwah ini lagi, dalam konteks zaman kini, ia perlu dizahirkan untuk menyebarkan kebenaran dan kebatilan kepada seluruh dunia.
"Solidirati yang terbaik adalah dengan memboikot produk-produk atau jenama yang terang menyokong Zionis.
"Dalam masa yang sama, terus membantu menyalurkan bantuan dalam bentuk memberi kesedaran kepada umat manusia agar ingat ini bukan satu genosid semata-mata tetapi ianya adalah melibatkan pertembungan agama.
"Kepada masyarakat yang merasakan ini 'bukan urusan mereka', sedarlah hidup ini ada kalanya kita berada di atas dan terkadang berada di bawah.
"Janganlah kita menjadi manusia yang sombong dengan tidak menghiraukan nasib orang lain," akhirinya.