suria

“Jagalah maruah ibu bapa” - Ridhuan Tee tegur individu borak lucah secara terbuka, minta rujuk pakar psikiatri

Segelintir individu tidak segan berborak lucah menerusi media sosial. -Gambar hiasan AI

SEORANG lelaki menerima kecaman selepas membuat siaran langsung (live) di sebuah restoran sambil berborak mengenai topik lucah. 

Lebih menjijikkan, kata-kata kurang sopan itu didakwa ditujukan kepada seorang wanita yang sedang makan berhampiranya.

Selain mengundang kemarahan, ramai netizen turut bimbang dengan sikap segelintir individu yang semakin tidak malu untuk berborak lucah secara terbuka.

Mengulas hal itu, pendakwah bebas Profesor Dr Ridhuan Tee, berkata tutur kata yang kotor boleh menjuruskan seseorang kepada perbuatan lebih teruk seperti zina.

"Perkara macam ni tak sepatutnya berlaku dalam kalangan kita. Orang timur menitikberatkan soal adab, akhlak dan cara hidup beragama.

"Perbuatan seperti ini boleh menjadikan kita menghampiri zina dan seks bebas. Sudah tentu hukumnya berdosa, jatuh haramlah," katanya kepada mStar.

Ridhuan Tee meminta orang ramai agar menjaga maruah diri dan keluarga dengan tidak bercakap lucah secara terbuka.

Ridhuan Tee meminta orang ramai agar menjaga maruah diri dan keluarga dengan tidak bercakap lucah secara terbuka.

Menurut Ridhuan, seseorang itu juga perlu memikirkan orang sekeliling sebelum bertindak mengeluarkan kata-kata yang lucah.

"Bayangkan ibu bapa, adik beradik atau anak-anak kita menonton perkara tersebut. Mana nak letak muka?

"Jagalah maruah ibu bapa kita. Anak-anak sepatutnya memberikan saham pahala kepada ibu bapa, bukannya dosa.

"Anak muda sepatutnya merangsang otak dengan membincangkan perkara baik, bukan berbual lucah yang tak berfaedah, berdosa dan haram," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ridhuan turut memberi saranan kepada individu yang gemar bersembang lucah agar mendapatkan bantuan pakar.

"Tindakan hendaklah dikenakan terhadap mereka ini termasuklah sembang lucah, 'ustaz' atau 'ustazah' yang jual ubat dan buku dalam media sosial.

"Saya cadangkan mereka ini berjumpa dengan pakar psikiatri, kaunselor dan agamawan bagi mengelakkan mereka makin tersesat. Bertaubatlah," ujarnya.

Artikel Lain