MENZIARAHI tanah perkuburan merupakan salah satu daripada amalan yang dianjurkan dalam Islam.
Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan, tanah perkuburan adalah salah satu kawasan yang perlu dihormati.
Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), sehingga kamu masuk kubur, jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!”. [Surah al-Takathur]
Dalam menghuraikan maksud ayat di atas, Imam al-Qurtubi turut menggariskan beberapa adab menziarahi kubur antaranya seperti:
1. Berniat dalam hati untuk menziarahi kubur agar tidak sekadar merayau-rayau di sekitar tanah perkuburan.
2. Berniat untuk menziarahi kubur demi memperoleh keredaan Allah SWT, memperbaiki semula rohani, memberi manfaat kepada orang mati dengan membaca al-Quran dan doa di sisi kuburnya.
3. Dilarang berjalan dan duduk di atas kubur.
4. Mengucapkan salam sebaik sahaja melangkahkan kaki memasuki ke tanah perkuburan dan memberikan salam juga kepada kubur yang dikenali.
5. Menghadap ke arah si mati kerana menziarahinya seumpama bercakap dengannya.

Umat Islam perlu menjaga adab ketika menziarahi kubur. -Gambar hiasan
6. Membayangkan diri sebagai seseorang yang akan terkubur dalam tanah, terputus hubungan daripada ahli keluarga dan orang yang dikasihi.
7. Merenungi keadaan saudara-saudaranya yang telah pergi.
Di samping itu, terdapat juga beberapa hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan adab-adab ketika menziarahi kubur dan sewaktu berada di tanah perkuburan.
Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Baginda SAW bersabda:
”Jika salah seorang kalian duduk di atas bara dan membakar pakaiannya sehingga membakar kulitnya lebih baik dari dia duduk di atas kubur.” [Riwayat Muslim]
Sheikh Muhammad al-Son’ani ketika menjelaskan maksudnya menyebut larangan daripada hadis ini jelas menegaskan perbuatan duduk di atas kubur adalah haram.
Terdapat juga riwayat yang lain menyebut daripada Abu Marsad al-Ghanawi:
”Jangan kalian duduk di atas kubur dan jangan solat menghadap ke arahnya.” [Riwayat Muslim]
Berdasarkan hadis di atas juga, Imam al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj al-Talibin menyatakan perbuatan duduk di atas kubur dan menginjak-injak di atasnya termasuk dalam perkara yang dilarang.
Para fuqaha juga tidak menghadkan larangan hanya pada duduk dan injak atas kubur malah perkara-perkara yang seumpama dengannya termasuklah bersandar di kubur.
Kesimpulan
Berdasarkan dalil dan pandangan fuqaha seperti di atas, dapat disimpulkan bahawa hukum melangkah ke atas kubur seseorang muslim yang lain dengan sengaja adalah haram kerana ia juga termasuk dalam perbuatan-perbuatan tidak beradab yang dilarang sewaktu menziarahi kubur.


