KES seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa cabul di sebuah masjid ketika mendirikan solat Subuh menarik perhatian ramai.
Selain daripada isu keselamatan di tempat ibadah, timbul juga perdebatan mengenai reaksi mangsa yang dilihat kaku dan tidak menjerit ketika dirangkul dan dibawa lari.
Seorang doktor perubatan, Dr Muhammad Aliff Md Zaki tampil memberikan penjelasan daripada sudut sains perubatan mengenai situasi ini.
Menurut Dr Aliff, ketika seseorang berada dalam keadaan bahaya, badan secara automatik akan memasuki mod fight or flight (lawan atau lari), di mana hormon kortisol dan adrenalin dirembeskan dalam jumlah tinggi untuk mempersiapkan tubuh menghadapi ancaman.
Dalam situasi ini, beberapa perubahan fisiologi berlaku seperti anak mata mengecil untuk fokus, badan menjadi sejuk bagi mengawal suhu, jantung berdegup laju untuk mengepam darah ke otot utama, dan kadar pernafasan meningkat bagi membekalkan oksigen mencukupi.
Secara teori, individu dalam keadaan ini akan bertindak sama ada melawan atau melarikan diri dengan kekuatan maksimum yang mereka ada.
Namun, ada satu lagi tindak balas badan yang jarang dibincangkan iaitu keadaan kaku atau freeze (tidak memberi respons).
Dr Aliff mengulas mengenai kes cabul darisa sudut perubatan.
Menurut Dr Aliff, reaksi ini berlaku apabila otak tidak dapat memproses situasi yang dihadapi secara serta-merta, menyebabkan badan seolah-olah lumpuh.
Proses ini berlaku di mana mangsa tidak dapat bergerak atau bersuara kerana sistem saraf mereka dalam keadaan panik yang melampau.
Fenomena ini menjelaskan mengapa kanak-kanak tersebut tidak menjerit atau melawan, bukan kerana dia tidak mahu, tetapi kerana tubuhnya memberikan tindak balas di luar kawalannya.
Selepas insiden berlaku, mangsa biasanya akan mengalami keletihan dan mengantuk akibat rembesan hormon yang tinggi sewaktu kejadian.
Ini merupakan kesan sampingan daripada tubuh yang bekerja keras untuk bertindak balas terhadap bahaya.
Dalam menghadapi kes sebegini, Dr Aliff menegaskan bahawa masyarakat tidak seharusnya menyalahkan mangsa atas tindakannya ketika insiden berlaku.
Sebaliknya, fokus utama perlu diberikan kepada usaha menegakkan keadilan dan memberikan sokongan kepada mangsa untuk pulih daripada trauma yang dialami.
Perdebatan mengenai apa yang 'sepatutnya' dilakukan oleh mangsa adalah tidak wajar, kerana setiap individu mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap ancaman.