MEMASUKI bulan Ramadan, lalu lintas pasti sesak dengan pengguna yang bergegas mahu pulang ke rumah atau mengunjungi bazar bagi membeli juadah berbuka puasa.
Dalam situasi trafik sesak itu, pasti ada pengguna berdepan situasi yang memerlukan mereka singgah sebentar di mana-mana lokasi untuk menggunakan tandas.
Selain stesen minyak, salah satu lokasi persinggahan yang sering menjadi pilihan bagi tujuan ini adalah restoran McDonald’s atau lebih popular dengan panggilan ‘Mekdi’ yang banyak terdapat di bandar atau pekan seluruh Malaysia.
Bagaimanapun kini, rata-rata mereka yang pada awalnya singgah ke Mekdi untuk menggunakan tandas terkejut apabila menyedari McDonald’s Malaysia turut menyediakan surau buat pengunjung beragama Islam.
Kemudahan surau di cawangan Mekdi ini memudahkan urusan umat Islam menunaikan kewajipan.
Menyedari adanya kemudahan ini, ramai dalam kalangan mereka kini tidak lagi singgah Mekdi semata-mata untuk tumpang tandas, sebaliknya turut mengambil peluang menunaikan solat sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah.
Pengunjung teruja
Seorang pengunjung, Ahmad Tarmizi yang berusia 30-an meluahkan keterujaannya selepas mengetahui cawangan Mekdi yang dikunjunginya mempunyai fasiliti surau sendiri.
“Terkejut juga, ini pertama kali saya tahu restoran Mekdi ada surau sendiri. Alang-alang dah ada, saya guna sahaja surau yang disediakan ni, nak cari di luar makan masa pula.
“Usaha ni memang bagus sebab memudahkan urusan mereka yang bergegas balik rumah untuk berbuka dan dalam masa sama takut terlepas waktu solat
“Dah guna surau, boleh juga beli makanan di sini,” ujar pemuda ini yang tinggal di Shah Alam dan singgah di Mekdi cawangan Kota Damansara.
Pengunjung memilih Mekdi sebagai hidangan untuk berbuka puasa.
Seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Farzana menyifatkan usaha murni McDonald’s Malaysia ini sedikit sebanyak mampu menggalakkan pelanggan Muslim untuk solat awal waktu tidak perlu lagi makan tergesa-gesa.
“Saya baru tahu ada surau di sini, tak sangka sebab tak semua restoran sediakan kemudahan begini. Bagi saya usaha ini sangat bagus sebab ia mampu mengajak orang untuk solat lebih awal juga,” ujar wanita berusia lewat 30-an itu.
Kagum melihat keadaan surau yang kondusif, pengunjung setia Mekdi Kota Damansara dikenali sebagai Hafizah memuji usaha McDonald’s menyediakan persekitaran surau yang selesa.
“Saya memang selalu ke sini, setiap kali masuk waktu solat saja saya akan singgah dulu di surau Mekdi untuk solat.
“Selepas dinaik taraf, saya nampak banyak penambahbaikan dari segi hiasan dalaman. Rasa lagi selesa untuk beribadah di sini dan kemudahan lain juga lengkap,” ujarnya yang merupakan ibu kepada empat anak.
Ruangan solat lelaki dan perempuan diasingkan demi keselesaan.
Mengenai surau yang disediakan, ia lengkap dengan tempat mengambil wuduk, penunjuk arah kiblat, cermin dan sejadah.
Meskipun ruangan solat lelaki dan perempuan berasingan namun kedua-duanya mempunyai kipas bagi memberikan keselesaan ketika beribadat.
Selesa di Mekdi
Jika sebelum ini ramai memilih restoran atau bufet hotel untuk iftar, kini kemudahan surau yang ditawarkan sedikit sebanyak akan membuatkan pengguna terpanggil untuk menjadikan Mekdi salah satu lokasi pilihan berbuka puasa bersama keluarga.
Mengenai makanan dan kemudahan lain, kebanyakan pengguna sudah maklum bahawa Mekdi sudah ‘cukup pakej’ kerana menyediakan hidangan dijamin halal dan berkualiti dengan perkhidmatan yang baik.
Surau lengkap dengan kemudahan tempat wuduk.
Selain itu, premis-premisnya juga bersih dan cukup selesa untuk pelanggan menikmati hidangan.
Setidak-tidaknya, pelanggan yang singgah di Mekdi kini tidak perlu lagi makan dengan tergesa-gesa untuk mencari masjid atau surau bagi menunaikan solat.
Bukan sahaja memudahkan pengunjung Muslim di bulan Ramadan, surau di Mekdi kini juga dilihat menjadi salah satu lokasi pilihan untuk umat Islam singgah solat termasuklah mereka yang bermusafir atau mahu meneruskan perjalanan yang masih jauh.
Untuk makluman, penggunaan surau di Mekdi tidak dihadkan kepada pelanggan sahaja sebaliknya terbuka kepada mana-mana umat Islam yang mahu menunaikan solat.
Sehingga kini, terdapat kira-kira 40 restoran Mekdi di seluruh negara yang menyediakan kemudahan surau selesa untuk para pengunjung.
Orang ramai yang berminat boleh layari ke laman web Mekdi untuk maklumat lanjut.