SEMPENA bulan Syawal, ramai yang mengambil kesempatan untuk mengadakan majlis rumah terbuka dan melakukan aktiviti ziarah bagi mengeratkan silaturahim.
Kadang kala, tuan rumah akan menyediakan bekal untuk dibawa pulang oleh tetamu.
Kebiasaannya, bekas pakai buang berwarna hitam menjadi pilihan kerana bersifat lebih 'tertutup' dan kelihatan menarik.
Menerusi hantaran di laman TikTok, pelayar, Nama Kini, menyatakan bahawa bekas pakai buang yang berwarna hitam adalah berbahaya.
"Bekas berwarna hitam ni mempunyai bahan kimia yang sangat berbahaya.
"Plastik-plastik berwarna hitam yang anda gunakan sebagai bekas pakai buang tak boleh digunakan, sepatutnya gunakan bekas yang lutsinar.
Segelintir tuan rumah gemar memberi tetamu bekal untuk dibawa pulang. -Gambar hiasan
"Pastikan beli yang buatan Malaysia, bukan dihasilkan negara luar. Ia bagi mengelakkan diri terkena pelbagai jenis penyakit," katanya.
Pada masa sama, dia turut berkongsi maklumat berkaitan penyelidikan.
"Sesetengah penyelidik menyatakan terdapat kemungkinan plastik hitam mengandungi paras rendah bahan kimia toksik, termasuk bahan kimia kalis api (BFR).
"Ia dipercayai boleh meresap masuk ke dalam makanan semasa memasak.
"Kemungkinan risiko terdedah kepada bahan kimia tertentu akibat daripada penggunan mungkin lebih rendah daripada yang dilaporkan sebelum ini," tambahnya.
Untuk pengetahuan, BFR ialah bahan kimia sintetik yang ditambahkan pada produk pengguna untuk mencegah atau melambatkan proses kebakaran.
Ia juga dapat mengurangkan kecederaan dan kerosakan berkaitan dengan kebakaran.
Manusia boleh terdedah kepada BFR, yang meresap daripada produk yang digunakan sama ada melalui pengambilan makanan, habuk dan air yang tercemar melalui pendedahan kulit.