PELIK tapi benar.
Seorang lelaki disahkan menghidap jangkitan kulat di paru-paru kanan akibat tabiat peliknya yang gemar menghidu bau stoking selepas seharian memakai.
Memetik laporan Daily Mail, lelaki yang berasal dari Chongqing itu cuba mendapatkan rawatan di hospital akibat mengalami batuk teruk yang membuatkannya terjaga pada waktu malam walaupun mengambil ubat-ubatan.
Berdasarkan laporan bronkoskopi daripada bahagian dalam tekak, lelaki terbabit didapati mempunyai aspergillosis iaitu sejenis penyakit paru-paru yang berpunca daripada kulat aspergillus yang tumbuh subur di lokasi lembap.
Malah hasil temubual bersama, lelaki terbabit berterus terang tentang tabiatnya yang kerap menghidu stoking selepas memakainya untuk tempoh lama.
Susulan itu, pakar perubatan menguji stokingnya dan mendapati ia mengandungi kulat yang sama.
Mengulas tentang situasi yang berlaku, Timbalan pengarah Jabatan Perubatan Pernafasan di Hospital Barat Daya Universiti Perubatan Tentera, Luo Hu berkata, stoking menyediakan tempat pembiakan yang sempurna untuk kulat.
"Memakai kasut untuk masa yang lama membentuk ruang tertutup, lembap dan hangat, seterusnya memudahkan kulat membiak.
"Jika anda menghidu sarung kaki yang dipenuhi kulat, ia boleh memasuki saluran pernafasan bawah melalui mulut dan hidung.
"Jika fungsi imun badan rendah, ia boleh menyebabkan penyakit seperti radang paru-paru," jelasnya.