MELAHIRKAN anak adalah satu pengalaman luar biasa yang memerlukan persediaan rapi dari segi fizikal dan mental.
Antara kebimbangan utama ibu hamil, terutamanya yang belum pernah bersalin ialah risiko koyak pada bahagian perineum semasa proses meneran.
Walaupun tidak semua wanita mampu mengelak daripada berlakunya koyakan, terdapat beberapa petua dan amalan yang boleh membantu mengurangkan risiko ini, sebagaimana perkongsian pelayar, @schult yang juga ibu kepada tiga cahaya mata.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita umur 30-an tinggi peluang hamil kembar, doktor kongsi rahsia buat pasangan sedang ikhtiar dapat ‘twin’
"Tiga kali anak selamat dilahirkan. Dari kelahiran pertama hingga anak ketiga ini, saya memang tak pernah episotomi (digunting) dan dijahit.
"Misi (jururawat) dekat Klinik Kesihatan (KK) tadi pesan, tolong uar-uarkan supaya emak-emak lain boleh belajar tip bersalin ini.
"Disclaimer, saya tak ada menjual produk, tidak makan jamu atau produk pseudoscience dan tak ada doula," tulisnya.
Ibu hamil disaran menjaga pemakanan sepanjang kehamilan. -Gambar hiasan
Berikut adalah empat tip yang dikongsikan oleh wanita berkenaan:
1. Kerjasama
Perkara paling penting sebelum melaksanakan kesemua tip atau petua adalah kerjasama suami. Tanpa kerjasama pasangan, ibu hamil berdepan kesukaran apatah lagi dengan keadaan perut yang memboyot.
2. Amalkan urutan perineum
Urutan ini membantu meningkatkan keanjalan kulit di kawasan perineum dan membiasakan tisu kawasan tersebut dengan regangan.
"Seawal 36 minggu memang saya request husband untuk tolong urutkan. Awalnya akan rasa tegang, sedikit sakit. Kena sabar dan buat selalu," ujarnya.
Gunakan minyak kelapa dara atau minyak zaitun untuk mengurut kawasan tersebut selama lima hingga 10 minit setiap hari.
"Pada 38 minggu selalunya dah rasa stretchable. Maksudnya bila husband try stretch, tak sakit. Malah bila nurse seluk untuk check bukaan pun saya OK saja," ujarnya.
Senaman juga antara persediaan yang boleh dilakukan ibu hamil. -Gambar hiasan
3. Teknik pernafasan
Belajar serta berlatih teknik pernafasan dan meneran dengan betul.
"Belajar breathing technique dan jangan angkat punggung. Penting sebab bila nak meneran kena amalkan.
"Selepas ambil nafas, tahan nafas beberapa saat, jangan lepas semua. Sila curi nafas dan teruskan meneran," kongsinya.
4. Berdoa dan tawakal
Ini adalah sebahagian daripada persediaan mental. Ketakutan dan tekanan boleh menyebabkan tubuh menjadi tegang seterusnya menyukarkan proses bersalin.
Amalkan zikir dan doa untuk memastikan diri tenang sepanjang proses kelahiran.
"Banyak-banyakkan berdoa semoga dipermudahkanNya. Sesungguhnya kita hanya mampu berusaha," akhirinya.