MERPATI mungkin jinak dan kelihatan tidak berbahaya, namun di sebalik sifatnya itu tersembunyi satu ancaman kesihatan yang serius.
Ramai yang gemar melihat burung merpati bertenggek di balkoni, terbang bebas di langit atau berkeliaran di taman tapi awas, elakkan daripada terkena najis haiwan ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kucing indoor pun boleh dijangkiti kutu... Ini punca-punca, cara penyelesaian tuan bulus perlu tahu
Bukan sekadar mencacatkan pemandangan, sebaliknya apa yang lebih membimbangkan, najis burung merpati membawa risiko penyakit yang tidak boleh dipandang ringan.
Risiko kesihatan
Memetik portal Public Health Malaysia, najis burung merpati boleh menyebabkan jangkitan paru-paru merpati atau 'pigeon lung'.
Keadaan sebuah kereta yang dicemari najis burung merpati.
Penyakit ini boleh berlaku apabila spora kulat atau bakteria daripada najis burung disedut dan masuk ke dalam paru-paru.
Kuman kulat Histoplasma Capsulatum yang terdapat dalam najis burung menyebabkan gejala demam, batuk, letih, dan dalam kes yang teruk, jangkitan paru-paru yang kronik.
Selain itu boleh berlaku jangkitan Cryptococcus neoformans dan Psittacosis (Ornithosis), iaitu jangkitan akibat pendedahan kepada najis, air liur atau habuk dari bulu burung.
Kelihatan jinak namun burung merpati boleh mengancam kesihatan menerusi najisnya.
Langkah pembersihan
1. Gunakan sarung tangan kalis air
2. Jika najis masih basah, boleh sapu dengan tisu dapur dan kemudian lap dengan kain lembap.
3. Jika najis kering dan banyak, gunakan pakaian pelindung dan topeng muka, terutamanya jika membersih di kawasan tertutup. Sut pakai buang kalis habuk membantu melindungi daripada habuk dan sentuhan kulit.
4. Elakkan mengikis najis yang kering secara terus. Lembutkan dahulu dengan larutan sabun bagi mengelakkan habuk pembawa penyakit bertebaran ke udara.
5. Sebelum melakukan proses pembersihan, tutup atau alihkan barang berdekatan.