suria

Anak ditampar guru sampai gegendang telinga pecah! Bapa mangsa kongsi cara buat aduan, cikgu ditukar 24 jam

Ibu bapa atau penjaga perlu menggunakan saluran yang betul sekiranya berdepan dengan kes buli melibatkan guru. -Gambar hiasan

INSIDEN seorang murid perempuan yang menjadi mangsa 'serangan' sekumpulan guru baru-baru ini mengundang perdebatan di media sosial.

Rata-rata mereka mendesak pihak berkuasa khususnya Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tegas terhadap guru berkenaan kerana bersikap keterlaluan dalam mengendalikan kes berkaitan pelajar.

Terpanggil untuk mengulas isu sama, seorang pelayar Facebook berkongsi kisah bagaimana dia mengendalikan situasi selepas kejadian serupa menimpa anaknya, untuk dijadikan panduan bersama.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekumpulan guru perempuan kerumun anak buah Sajat, tengking sambil tuding jari ke muka - “Nanti mak awak serang cikgu!”

"Kejadian berlaku pada anak saya tahun lepas. Anak pelajar tingkatan lima dan seorang pengawas. Ditampar di kedua-dua belah telinga oleh seorang guru lelaki semasa dia sedang jawab kertas ujian. 

"Tanpa sebarang penjelasan daripada cikgu dan tanpa sebarang provokasi daripada anak saya," tulisnya.

Insiden seorang murid perempuan yang dimarah guru mengundang rasa kurang senang ramai pihak terhadap tindakan pendidik yang dianggap keterlaluan. 

Individu tersebut kemudian menyenaraikan langkah demi langkah yang diambil untuk mendapatkan keadilan bagi pihak anaknya, seperti berikut: 

1. Bawa anak pergi ke klinik kemudian dirujuk ke pakar telinga, hidung dan tekak (ENT). Berlaku pendarahan akibat gegendang telinga pecah.

2. Bersama bukti daripada doktor pakar, berjumpa dengan Guru Penolong Kanan 1, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Guru Kaunseling (tanpa kehadiran anak).

"Saya beritahu akan buat report polis serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan akan rujuk kepada peguam. Cikgu tu datang minta maaf, dengan tegas saya beritahu saya kecewa dan cikgu kena bertanggungjawab di atas perbuatan cikgu terhadap anak saya," tulisnya.

3. Bawa anak buat laporan polis dan terus ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

4. Hasilnya guru tersebut ditukar sekolah dalam masa 24 jam. 

"Saya beri tiga pilihan penyelesaian kepada guru berkenaan namun segala urusan adalah melalui pihak sekolah sebagai perantara," ujarnya.

5. Dalam tempoh dua hingga tiga minggu, beberapa perkara telah dipersetujui bersama melalui penyelesaian di meja rundingan.

"Apa yang saya nak beritahu, bertindak dengan tenang. Jangan bergaduh atau pukul cikgu, anda akan kehilangan advantage bila nak buat aduan dan sebarang tuntutan nanti.

"Berbincang dengan anak apakah tindakan yang terbaik dan harus dipersetujui oleh anak, sebab dia yang kena dan alami trauma," akhirinya.

Artikel Lain