SEJAK Ahad, tular satu video memaparkan seorang murid sekolah rendah dimarahi sekumpulan guru di kantin sekolah sehingga menyebabkan kanak-kanak itu menangis teresak-esak.
Video itu dipercayai dirakam salah seorang guru terbabit sebelum dikongsi kepada ibu murid berkenaan.
Video berkenaan ternyata mengundang reaksi kurang senang dan kecaman daripada warga maya yang menyifatkan tindakan guru terbabit sebagai keterlaluan dan tidak mencerminkan jiwa seorang pendidik.
ARTIKEL BERKAITAN: Sekumpulan guru perempuan kerumun anak buah Sajat, tengking sambil tuding jari ke muka - “Nanti mak awak serang cikgu!”
Terpanggil untuk mengulas perkara sama, seorang doktor perubatan, Dr Raihana Ismail tampil memberi teguran terbuka kepada golongan pendidik agar tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman tanpa mengambil kira impak terhadap pelajar.
"Bayangkan seorang guru menuduh nak murid secara terbuka, depan kelas, depan kawan-kawan tanpa siasat dan tanya dulu apa yang berlaku dalam hati kecil murid tu. Apa jadi pada self-esteem anak?
"Satu tuduhan terbuka adalah retakan besar pada keyakinan diri. Anak mula rasa dia tak berharga, dia tak boleh dipercayai, suara dia tak penting dan lebih teruk, dia mula percaya 'aku memang bersalah walau aku tak buat'," ujarnya.
Kanak-kanak yang dimarahi depan khalayak cenderung mengalami trauma. -Gambar hiasan
Dr Raihana turut berkongsi tanda-tanda jika seseorang pelajar sudah memasuki zon stres melampau iaitu:
1. Tak mahu ke sekolah dan mencipta pelbagai alasan.
2. Senyap tiba-tiba apabila ditanya.
3. Menangis diam-diam di dalam bilik.
4. Rasa takut dengan semua autoriti seperti guru, ibu bapa atau sesiapa yang tegas.
5. Mula alami regression (mundur), gagal bina empati, takut bercakap depan orang, otak memasuki mode survival dan bukan pembelajaran.
"Tak salah apabila cikgu mahu disiplinkan murid, tapi apabila hukuman jadi penghinaan, apa yang kita bina bukan disiplin sebaliknya trauma jangka panjang.
"Trauma yang tak dapat dilihat ini akan muncul apabila mereka dewasa nanti… membuatkan mereka takut bercakap, takut silap, takut orang tengking, takut jadi diri sendiri.
"Kanak-kanak bukan pinggan kaca yang mudah pecah tapi apabila pecah, akan tinggal cuma serpihan yang susah untuk cantum semula. Marah apabila perlu tapi jangan hina," ujarnya.
Dalam perkembangan terbaharu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sedang menyiasat video tular berkenaan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beliau mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan memperhalusi perkara itu dengan lebih serius kerana ia membabitkan integriti dan etika guru.
Katanya, perkara itu juga amat dikesali kerana rakaman berkenaan turut tersebar dan memberi impak besar kepada masyarakat.