suria

Wanita jalani gaya hidup sihat ambil ringan rasa sakit perut, abai simptom... Rupanya kanser usus tahap 4

Krystal seorang yang sihat dan aktif sebelum menghidap kanser usus. -Foto David Nielsen (kiri)

SENTIASA sihat dan aktif, Krystal Maeyke tidak menyangka simptom kecil dialami selama beberapa bulan sebenarnya petanda kanser usus.

Rasa tidak selesa bermula dengan sakit mencucuk di bahagian bawah perut yang disangka sekadar alahan makanan biasa.

Sebagai ibu kepada seorang anak lelaki dan menjalani gaya hidup sihat, wanita berumur 39 tahun ini tidak pernah terfikir kesakitan itu adalah petanda penyakit serius.

Lama kelamaan, simptom menjadi semakin teruk dan kesakitan tidak lagi dapat ditanggung.

Krystal mula berasa sakit di bahagian perut, keletihan luar biasa, hilang selera makan, peluh waktu malam tanpa sebab serta berdepan masalah buang air tidak menentu.

Tetapi wanita ini tetap menganggap bahawa dirinya hanya penat akibat jadual harian yang padat.

Krystal berkongsi perjalanan sebagai pejuang kanser di TikTok.

Pada 30 Mei 2023, Krystal diterbangkan sejauh 450 kilometer ke hospital Hospital Alice Springs, Australia oleh perkhidmatan kecemasan Royal Flying Doctors Service apabila keadaannya makin parah.

Selepas menjalani beberapa ujian di hospital, dia akhirnya disahkan menghidap kanser usus tahap empat atau dalam istilah perubatan, kanser metastatik.

Kini, Krystal terus berkongsi perjalanan rawatan termasuk sesi kemoterapi melalui akaun TikTok miliknya yang mempunyai hampir 50,000 pengikut. 

Dia turut berkongsi simptom kanser usus agar lebih ramai dapat mengambil langkah awal.

Menurut Cancer Research United Kingdom, antara simptom lain kanser usus termasuklah:

1. Pendarahan dari rektum atau najis berdarah.

2. Perubahan pada tabiat buang air besar.

3. Ketulan dalam perut.

4. Rasa kembung, loya atau kekejangan perut.

5. Mudah penat dan sesak nafas.

Artikel Lain