GOLONGAN wanita pasti tidak asing dengan pengambilan asid folik selepas berkahwin.
Lazimnya, dos diambil bagi para isteri yang mengimpikan kehadiran zuriat dan merancang untuk hamil kerana dianggap supplement kesuburan.
Malah vitamin B yang terkandung di dalamnya penting untuk perkembangan bayi dalam kandungan.
Bagaimanapun terdapat individu yang mempersoalkan sama ada golongan lelaki boleh mengamalkan pengambilan asid folik atau tidak.
Menjelas mengenainya, pakar perubatan, Dr Raihana Ismail berkata, lelaki tidak wajib mengamalkan asid folik seperti wanita.
"Ramai orang ingat asid folik ini hanya untuk perempuan sahaja, terutama apabila mahu hamil atau TTC (trying to conceive).
Wanita hamil dan merancang untuk memiliki anak boleh mengamalkan pengambilan asid folik lebih awal.
"Betullah, sebab fungsi utama memang untuk menyokong perkembangan bayi dalam rahim dan bantu cegah kecacatan saraf tunjang (neural tube defect) di awal kehamilan.
"Kadang-kadang perempuan pun tak tahu dia hamil lagi, sebab itu doktor selalu sarankan pengambil sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum cuba hamil.
"Lelaki yang mengamalkannya boleh membantu meningkatkan kualiti sperma," jelasnya.
Malah ujar Dr Raihana, pengambilan asid folik oleh kaum lelaki dapat membantu mengurangkan kerosakan asid deoksiribonukleik (DNA).
Selain itu katanya, amalan tersebut dapat meningkatkan pergerakan sperma.
Malah jelasnya, ia secara tidak langsung menjadikan sperma lebih sihat.
"Peluang untuk hamil boleh menjadi lebih baik jika pasangan suami isteri amalkannya.
"Perempuan diwajibkan sebab kesannya terus kepada bayi manakala bagi lelaki ia adalah sokongan tambahan," tambahnya yang juga pengasas susu Efferty.
Bagi dos pengambilan pula, ujar beliau, golongan wanita disarankan untuk mengambil 400 hingga 800 mikorgram sehari.
"Lelaki pun boleh ikut dos yang sama," jelasnya sambil menyatakan asid folik bukanlah penyelesaian masalah TTC 100 peratus kerana kehamilan bergantung pada gaya hidup masing-masing.