PROSES pemeraman atau fermentasi sesuatu bahan sememangnya mengambil masa yang lama.
Sepanjang tempoh itu, terdapat pelbagai 'bendasing' atau mikroorganisma seperti yis akan muncul secara semula jadi di permukaan atau keliling 'mulut' bekas.
Kewujudan bendasing tersebut menyebabkan video cara pembuatan budu menjadi tular sehingga mengundang reaksi bercampur baur daripada warga maya.
Beberapa individu pula menggesa pihak Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pemeriksaan di kilang pembuatan berkenaan.
Untuk pengetahuan, budu merupakan makanan tradisional yang dihasilkan masyarakat Kelantan dan diguna secara meluas dalam pelbagai jenis masakan.
Ia juga sedap dinikmati secara mentah bersama campuran cili padi dan limau nipis.
Tangkap layar video pembuatan budu yang tular di media sosial.
Sebelum anda menyimpulkan kewujudan bendasing tersebut adalah kotor dan membahayakan kesihatan, ini fakta yang diterangkan pengamal perubatan, Dr Raihana Ismail di laman TikTok.
1. Budu dibuat daripada ikan bilis, ikan selayang yang dicampur garam kasar dengan kadar satu nisbah tiga.
2. Proses fermentasi adalah enam bulan sehingga satu tahun.
3. Terdapat pengusaha yang menambah asam gelugur ataupun gula merah untuk memberikan rasa masam manis dan bau harum.
4. Semasa proses fermentasi, terdapat lapisan putih di permukaan atau tepi bekas.
Lazimnya, ia adalah yis semula jadi.
5. 'Bendasing' yang dilihat itu bukanlah kulat berbahaya kerana setiap kulat mempunyai bulu yang berwarna hijau, hitam mahupun kelabu.
6. Budu tahan lama dan selamat kerana kandungan garam yang tinggi membunuh bakteria jahat, telur lalat pun tidak boleh hidup.
7. Fermentasi hasilkan asid dan enzim cegah kulat merbahaya tumbuh.
8. Budu kaya dengan probiotik yang baik untuk usus selain mengandungi mineral seperti kalsium, magnesium dan zink.
9. Antioksidan daripada asam dan rempah bantu menurunkan kolestrol dan mengawal tekanan darah.
10. Jadi mitos yang mengatakan proses pembuatan budu menjadi tempat kulat, telur lalat membiak adalah salah.