suria

Bersalin dalam musim banjir... Apa ibu-ibu perlu buat untuk lindungi bayi?

Bayi akan kesejukan jika tidak dipakaikan pakaian bersesuaian ketika musim hujan. -Gambar hiasan AI

WANITA yang bersalin semasa musim hujan atau banjir perlu mengambil langkah tambahan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan bayi terjamin.

Situasi juga menjadi lebih mencabar jika mereka tinggal di kawasan yang ditenggelami banjir kerana risiko jangkitan dan kelembapan meningkat.

Menurut Endoworld Hospital, berikut merupakan lima tip mudah untuk ibu-ibu melindungi bayi mereka semasa musim hujan:

1. Pastikan bayi sentiasa kering dan bersih

Dengan kelembapan, datang peluh. Jadi, bayi perlu dilap dengan kerap untuk kekal kering. 

Bayi juga perlu dimandikan setiap hari dan jika boleh, sekurang-kurangnya dua kali sehari. 

Bahagian badan seperti ketiak, leher dan lipatan kulit perlu diberi perhatian lebih kerana sifatnya yang mudah menahan kelembapan dan lebih terdedah kepada jangkitan serta ruam. 

Selain kebersihan bayi, penjaga juga perlu kekal kering dan bersih untuk mengelakkan pemindahan kuman kepada si cilik.

2. Pakaian yang selesa

Dengan perubahan cuaca dari panas, lembap hingga sejuk, pakaian yang selesa dan sesuai untuk bayi sangat penting.

Kedatangan banjir juga membawa pelbagai risiko penyakit. -Gambar hiasan AI

Bayi perlu dipakaikan pakaian kapas longgar, kering, selesa dan sebaiknya berlengan panjang. 

3. Kebersihan air

Air mudah tercemar semasa musim monsun, jadi pastikan anda hanya menggunakan air yang ditapis dan direbus untuk bayi. 

Rebus air sekurang-kurangnya tiga minit dan sejukkan sebelum digunakan untuk membuat susu formula atau diminum. 

Pastikan bayi diberi susu yang mencukupi untuk memastikan mereka kekal terhidrat.

4. Perlindungan daripada virus

Elakkan tempat sesak untuk mengurangkan risiko bayi terkena kuman dan jangkitan daripada orang lain.

Basuh dan sanitasi tangan bayi serta penjaga dengan kerap. 

Selain itu, jauhkan bayi daripada orang yang mengalami jangkitan virus dan selesema.

5. Perlindungan daripada serangga dan nyamuk

Kehadiran serangga juga mungkin meningkat semasa musim hujan atau banjir.

Jadi, bayi perlu dipakaikan pakaian berlengan panjang untuk melindungi badan daripada gigitan serangga atau nyamuk. 

Pastikan katil bayi ditutup dengan kelambu semasa mereka tidur.

Artikel Lain