suria

Wang kertas RM50 nilai berpuluh ribu digigit tikus... Masih ada peluang dapat semula duit, ini apa anda boleh lakukan

Keadaan duit yang rosak dikongsikan Jeha di TikTok.

TULAR satu video di TikTok apabila seorang wanita bernama Nur Jeha berkongsi keadaan menyedihkan melibatkan wang simpanan keluarganya.

Menerusi rakaman tersebut, kelihatan wang kertas RM50 dalam jumlah yang banyak rosak teruk, akibat digigit tikus.

"Siapa tahu kalau duit jadi macam ni, boleh tukar lagi tak dekat bank? Habis duit berpuluh ribu kena makan dengan tikus. 

"Dugaan 2025... abah kena strok sebelum ni, dia baru ingat semula duit simpan dekat mana hari ni," katanya.

Menurut Jeha, duit tersebut disimpan di bawah katil di kediamannya sebelum tikus bersarang di situ.

Jeha menunjukkan keadaan duit bapanya yang digigit tikus.

Perkongsian itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan netizen, sama ada wang yang rosak masih boleh ditukar atau tidak.

Untuk pengetahuan umum, Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini pernah menjelaskan bahawa wang kertas yang rosak boleh ditukar kepada wang baharu.

Namun nilai pertukaran bagi semua wang dibawa itu bergantung kepada tahap kerosakan.

Penukaran boleh dilakukan di mana-mana cawangan bank terdekat atau lebih mudah dan cepat sekiranya dibuat terus di Bank Negara Malaysia.

Garis panduan penukaran wang kertas rosak

Wang kertas yang jelas nilainya (boleh tukar hari sama)

1. Masih mempunyai lebih dua pertiga saiz asal

2. Tiada contengan pada potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

3. Tiada tulisan atau slogan berunsur politik

4. Tidak mengandungi contengan ketara seperti angka, perkataan dan sebagainya

Wang kertas yang nilainya tidak jelas  (Rujuk BNM dan ambil masa)

1. Terbakar

2. Rosak teruk akibat dimakan anai-anai atau tikus

3. Dalam kes yang nilainya sukar ditentukan, pihak bank akan menghantar wang kertas itu kepada BNM dan proses ganti nilai boleh mengambil masa dua hingga tiga minggu.

Di ruangan komen, seorang netizen tampil berkongsi pengalaman dan saranan

"Bawa semua duit ni pergi bank negara. Minta borang pertukaran mata wang rosak. Bagi mereka kira sendiri. Selalunya dua hingga tiga minggu baru mereka bayar semula.

"Kalau duit tu muka Agong, tak kena bayaran sama nilai. Kalau teruk sangat dikira separuh. Jangan pergi bank 'biasa', leceh. Pergi ke BNM terus.

"Jangan sedih, dapat balik ni sebab muka Agong tu belakang dia ada nombor siri sebab tu muka kena ada. Nombor siri ada muka Agong tu tak ada atau tidak sama nilai," jelasnya.

Artikel Lain