JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang menjalankan operasi khas melibatkan kenderaan perdagangan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).
Menerusi video yang tular di media sosial, beberapa kenderaan perdagangan termasuk lori didapati melakukan pelbagai kesalahan yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
Antara kesalahan ketara yang dikesan ialah pemasangan cermin gelap yang tidak dibenarkan sama sekali untuk kenderaan perdagangan.
Pegawai JPJ yang menjalankan pemeriksaan turut memberi penerangan jelas mengenai larangan tersebut kepada pemilik kenderaan.
Lebih membimbangkan, beberapa lori yang diperiksa didapati menggunakan tayar yang sudah botak, malah ada yang sudah menampakkan benang.
Keadaan ini boleh menyebabkan tayar meletup secara tiba-tiba dan membawa kepada kemalangan serius.
Dalam operasi itu juga, pegawai JPJ mengeluarkan surat amaran kepada tauke (pemilik lori) dan memberi tempoh untuk menukar tayar segera bagi mengelakkan tindakan lebih tegas pada masa akan datang.
Selain itu, antara kesalahan lain yang turut dikesan termasuk memandu melebihi had laju di lebuh raya.
Untuk rekod, had laju maksimum bagi lori di lebuh raya ialah 90 kilometer sejam, namun masih ramai pemandu yang gagal mematuhi had yang ditetapkan.
Tindakan tegas JPJ ini dilihat sebagai usaha berterusan dalam mendidik serta meningkatkan kesedaran pengusaha lori dan pemandu kenderaan perdagangan agar lebih bertanggungjawab di atas jalan raya.
Selain itu, perkongsian ini bertujuan menasihati pemandu supaya lebih peka terhadap aspek penyelenggaraan kenderaan demi keselamatan dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata.